Naik taraf TPS Jalan Jelutong siap lebih awal

Admin
photo 2024 04 09 11 16 41

SUNGAI PINANG – Projek naik taraf Tapak Penjaja Sementara (TPS) Jalan Jelutong yang terbakar pada 5 Januari lalu siap awal daripada jadual asal, dan akan mula diserahkan kepada penggerai.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa projek yang dapat disiapkan dalam tempoh lebih awal daripada dijadualkan tersebut pastinya memberikan kelegaan kepada para peniaga.

“Sebenarnya sebelum ini, bajet untuk menaik taraf TPS Jalan Jelutong telah diluluskan, malah, kejadian kebakaran yang berlaku telah mempercepatkan kerja-kerja naik taraf demi keperluan yang meruncing.

“Justeru, saya harap semua pihak menghargai usaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), wang rakyat kita kembalikan kepada rakyat, terima kasih juga kepada penjaja yang boleh bersabar sepanjang kerja-kerja pembinaan dijalankan termasuk pihak kotraktor yang berjaya menyiapkan TPS ini lebih awal,” ujarnya pada Majlis Penyerahan dan Perasmian TPS Jalan Jelutong di sini 9 April lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

 

photo 2024 04 09 11 16 41 (1)

Dalam pada itu, Rajendran memaklumkan bahawa kos projek tersebut adalah bernilai RM500,000.

“Pembinaan semula TPS Jalan Jelutong ini adalah menggunakan kaedah Gender Responsive Budget dan Outcome Basis Budgeting yang mana bagi kerja peringkat awal serta susun atur tapak, Majlis (MBPP) libatkan penyertaan penggerai-penggerai, Ahli Majlis, ADUN dan Ahli
Parlimen.

photo 2024 04 09 11 16 43

“Konsep TPS Jalan Jelutong ini mempunyai elemen-elemen Konsep Bangunan Hijau dengan ketinggian bumbung 3.5 meter untuk meningkatkan aliran udara termasuk menggunakan lampu jenis LED.

“Di pihak Majlis, kami berharap dengan pengoperasian semula TPS akan membuka lembaran baharu kepada para peniaga di sini,” ujarnya.

Difahamkan TPS Jalan Jelutong menempatkan 16 penggerai meliputi 10 perniagaan halal dan bakinya (tidak halal).

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN