Binaan arca patung syarikat anak tempatan ke peringkat antarabangsa

SIAPA sangka seni arca patung yang dilihat di taman-taman tema terkemuka di negara ini seperti Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun, Lagoland, Genting Highland, serta banyak lagi adalah hasil binaan sebuah syarikat tempatan di Pulau Pinang, Sculpture Environment Art Sdn. Bhd..

Selain di Malaysia, syarikat terbabit turut menjalankan beberapa projek terkemuka dengan beberapa jenama antarabangsa antaranya 20th Century Fox World, Universal Studios Singapore, Hard Rock Hotel, dan Singapore Zoo.

Antara arca patung yang pernah dihasilkan oleh Sculpture Environment Art Sdn. Bhd..

Malah, mereka juga menghasilkan arca patung bagi projek LPOD WaterPark di Bahrain; Sinbad Kids Club, Dubai; Pantai Cermin WaterPark, Indonesia; Lagoland ThemePark, Denmark dan banyak lagi.

Pengasasnya, Eek Yeoh, 44, memberitahu bahawa beliau memulakan perniagaan dengan menghasilkan figura bagi watak-watak komik popular sejak tahun 1998 sehingga 2003 sebelum beralih kepada projek binaan acra patung yang lebih besar.

“Projek berskala besar pertama saya dalam binaan seni arca patung adalah untuk taman tema air Lost World of Tambun dekat Perak yang mana kami bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk, menyiapkan lukisan bangunan sebelum membuat binaan sebenar.

“Bagi binaan arca bersaiz besar kita akan hasilkan sendiri (manual) tanpa menggunakan mesin 3D kerana lebih mudah dan cepat,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, pada masa ini Sculpture Environment Art Sdn. Bhd. sedang menyiapkan seni arca kaca bertemakan ‘Ice Age’ bagi projek taman tema di Genting Highland selain beberapa projek milik persendirian di negeri ini.

Mesin 3D yang digunakan untuk membuat reka bentuk arca patung.

“Semua arca patung ini akan dihasilkan di sini sebelum dibawa dan dipasang di tapak projek.

“Berbanding sebelum ini, teknik lukisan bagi menghasilkan acra patung kini menjadi semakin mudah selepasnya adanya mesin 3D,” ujarnya lagi.

 

Eek Yeoh berkata, harapan beliau ketika ini adalah untuk memperkenal dan memperluaskan lagi seni bina arca patung melalui projek-projek mega yang bakal dibangunkan di negeri Pulau Pinang termasuk projek berkepentingan awam.

Justeru katanya, bagi tujuan itu, pihaknya memilih menjalankan projek awam pertama di negeri ini melalui pembinaan ‘interactive art’ dekat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang.

Arca patung bersaiz kecil yang dihasilkan.

“Projek ini kita buat bukan bermotifkan keuntungan tetapi hanya tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk Kerajaan Negeri dengan membina satu papan bulletin unik dekat Karpal Singh Drive.

“Projek ini apabila siap boleh juga dijadikan sebagai tarikan pelancong kerana ia sesuai dijadikan kawasan istirahat serta bergambar.

“Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai ruangan informasi oleh wakil-wakil rakyat di kawasan berkaitan,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD