MBPP komited bantu peniaga kecil terkesan pandemik COVID-19

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tetap komited untuk membantu penjaja dan peniaga kecil di negeri ini untuk mendepani cabaran dek penularan pandemik COVID-19 melalui kaedah pendigitalan.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu bahawa sejak tahun lalu, pelbagai platform dalam talian telah diperkenalkan untuk membantu peniaga kecil dan penjaja memasarkan produk mereka secara maya.

“Ini kerana kita menyedari bahawa sangat penting bagi mereka untuk menyesuaikan diri dalam suasana normal baharu dengan memanfaatkan platform secara dalam talian.

“Dan kita dapati bahawa pendigitalan merupakan kaedah paling berkesan memandangkan pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada masa ini telah memberi kesan besar terhadap sektor perniagaan.

“Menyedari hakikat ini, MBPP telah memperkenalkan platform seperti Business From Home (BFH), Business From Farm (BFF) dan Jom Beli Online atau JBO @ MBPP untuk membantu peniaga memasarkan produk mereka secara berterusan.

“Berbanding BFH dan BFF, JBO @ MBPP merupakan yang paling berjaya apabila seramai 325 peniaga telah berdaftar untuk menggunakan platform ini.

“Ini menunjukkan bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk kita menggunakan teknologi dalam meningkatkan perkhidmatan e-dagang sekaligus mendorong orang ramai beralih kepada transaksi tanpa tunai,” katanya kepada Buletin Mutiara Ketika ditemui baru-baru ini.

Beri perkhidmatan terbaik

Dalam pada itu, Tung Seang menegaskan bahawa MBPP juga beriltizam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Pulau Pinang walaupun masih berdepan keadaan mencabar pada tahun ini.

“Walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19, perkhidmatan MBPP kepada penduduk tidak pernah berhenti dan semua usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar dan berdaya huni akan tetap diteruskan,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, MBPP juga akan melakukan yang terbaik untuk memastikan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat diagihkan kepada kumpulan sasaran secepat mungkin.

“Banyak bantuan yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri perlu disalurkan melalui pihak Majlis terutama untuk penjaja dan peniaga kecil kerana kita mempunyai rekod lengkap mengenai mereka,” katanya lagi.

Selain bantuan Kerajaan Negeri, Tung Seang memaklumkan bahawa MBPP sendiri turut mengambil inisiatif mengurangkan beban ekonomi penduduk melalui pengecualian bayaran sewa kepada penjaja dan peniaga pasar malam selama empat bulan semasa PKP tahun lepas.

“Selain itu, kita juga mengadakan promosi cukai taksiran, memberi pengecualian bayaran sewa selama dua bulan untuk Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lain-lain dengan kos yang ditanggung MBPP adalah sebanyak RM4 juta,” jelasnya lagi.

Mengulas mengenai peningkatan kes positif COVID-19, Tung Seang menyatakan bahawa seramai 2,000 kakitangan MBPP telah ditugaskan untuk memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Cabaran utama yang kita hadapi adalah untuk memastikan semua rakyat mematuhi SOP kerana masih terdapat segelintir penduduk enggan memberikan kerjasama kepada pegawai  bertugas.

“Walau bagaimanapun, tahap pematuhan penduduk Pulau Pinang masih lagi pada tahap sangat baik,” ujarnya lagi.

Selain berdepan kerenah orang awam, beliau memberitahu bahawa kakitangan MBSP yang bertugas di lapangan turut terdedah kepada jangkitan virus COVID-19.

“Pada masa ini, daripada lebih 2,000 orang yang bertugas di barisan hadapan, kira-kira Sembilan orang telah didapati positif COVID-19 tetapi mereka berada dalam keadaan stabil,” ulasnya.

Aspek keselamatan diberikan penekanan

Justeru, Tung Seang menasihati agar penduduk di negeri ini supaya terus memberikan kerjasama untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan mengembalikan Pulau pinang sebagai negeri zon hijau.

“Hampir semua perkhidmatan yang kita ada disediakan secara dalam talian. Jadi, orang awam disarankan supaya menyelesaikan semua urusan menggunakan perkhidmatan online bagi meminumkan pergerakan sekaligus mengurangkan kes jangkitan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Tung Seang menjelaskan bahawa sebanyak 970 unit kamera litar tertutup (CCTV) telah di pasang di bahagian pulau dengan lebih 500 unit (CCTV) dilengkapi dengan fungsi video analitik yang mempunyai sistem pengecaman wajah.

“Pada tahun ini, MBPP tidak ada rancangan untuk menambahkan jumlah CCTV sebaliknya kami mahu meningkatkan fungsi CCTV sedia ada untuk memberikan hasil yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, katanya, MBPP turut menggunakan alternatif pintar lain untuk mendorong orang ramai mematuhi SOP.

“Kami menggunakan laman sosial rasmi MBPP untuk menyebarkan kesedaran mengenai COVID-19 selain menggunakan sistem siar raya yang telah diintegrasikan dengan CCTV.

“Melalui kaedah ini, lebih mudah untuk kita memberikan nasihat atau peringatan kepada mereka yang cuba melanggar SOP di tempat awam,” tambahnya lagi.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : CHAN KOK KUAN