BKIP2 projek kolaborasi, PDC tidak akan lepas tangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif

AZIZ Bakar

PERBADANAN Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tidak akan melepaskan tangan dalam projek kolaborasi yang melibatkan firma swasta, Umech Construction Sdn. Bhd. (UMECH) demi mewujudkan kawasan perindustrian baharu negeri yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDC, Dato’ Aziz Bakar berkata demikian semasa diminta mengulas laporan berita semalam yang komited dalam projek kolaborasi tersebut di atas tanah seluas 559 ekar dekat Byram, Batu Kawan.

“Penglibatan syarikat berkaitan yang memegang 70 peratus ekuiti dalam UMECH ini adalah di luar pengetahuan PDC kerana tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PDC.

“Tidak ada rekod mereka (UMECH) memaklumkan atau mendapatkan persetujuan daripada PDC.

“Kita (PDC) menyedari perkara ini pada hari kita memeterai perjanjian (dengan UMECH Land Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat UMECH) berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh syarikat berkaitan kepada BSKL (kini dkenali sebagai Bursa Malaysia).

“Lalu, kita (PDC) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada UMECH untuk memberi penjelasan – kenapa perkara ini berlaku.

“Ini kerana, dalam perjanjian antara PDC dan UMECH telah dinyatakan secara jelas bahawa sebarang perubahan ekuiti dalam syarikat (UMECH dan anak syarikatnya berkenaan) perlu mendapatkan persetujuan PDC, dan PDC berhak mengenakan apa-apa syarat sebelum persetujuan diberikan.

“Apa yang berlaku, perubahan (ekuiti dalam UMECH) itu berlaku dalam seminggu atau dua minggu sebelum perjanjian ditandatangani dan perkara itu adalah di luar pengetahuan kita,” jelasnya di ibu pejabat PDC dekat Bayan Lepas pada 4 Oktober 2023.

Dalam wawancara secara eksklusif bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS, beliau berkata bahawa PDC sama sekali tidak akan lepas tangan demi memastikan projek pengembangan BKIP2 yang tertangguh sebelum ini mencapai tujuan asal sebagaimana digariskan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Selepas mendapatkan surat tunjuk sebab daripada UMECH, akan diteliti dan dibawa kepada Lembaga PDC, Lembaga (PDC) akan menentukan keputusan yang muktamad arah tuju kolaborasi ini.

“BKIP2 dipanggil sebagai projek kolaborasi (yang mana) PDC akan memantau bagi memastikan projek mewujudkan infrastruktur kawasan pelaburan baharu negeri ini ditepati yang mana kita (PDC) tidak akan lepas tangan kepada UMECH untuk secara bebas menentukan bentuk pembangunan di atas tanah seluas lebih 500 ekar ini,” ujarnya.

Buletin Mutiara difahamkan PDC sejak tahun 2015 lagi berusaha mencari rakan kolaborasi bagi memajukan projek BKIP2.

Rancangan PDC pada waktu itu adalah untuk mempercepatkan projek BKIP2 dengan kerja-kerja tanah bagi projek BKIP2 yang mula dilaksanakan pada pertengahan 2020.

Semasa itu juga, Aziz memberitahu bahawa PDC dalam suku keempat tahun 2021 turut memanggil tender untuk membina jambatan yang merentasi Sungai Tengah bagi mempercepatkan projek pengembangan infrastruktur di kedua-dua kawasan perindustrian baharu negeri tersebut.

“Bagaimanapun, PDC mendapat maklum balas bahawa kawasan ini (BKIP2) sukar untuk dipromosikan kepada pelabur-pelabur terutamanya syarikat-syarikat multinational (untuk membuka kilang mereka) disebabkan faktor persekitaranya yang tidak kondusif (serta dekat dengan Tapak Pelupusan Pulau Burung).

“Ekoran itu, PDC telah menghentikan semua aktiviti pembangunan BKIP2 dan beralih ke Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP) dan BKIP3,” ulasnya sambil memberitahu bahawa agensi negeri tersebut turut memutuskan untuk membekukan projek BKIP2 selama lima tahun sejak tahun 2021.

Aziz menjelaskan bahawa PDC pada tahun 2015 pernah cuba berbincang dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Persekutuan untuk melaksanakan projek BKIP2 ‘secara kolaborasi; kemudian berbincang perkara sama dengan sebuah syarikat tempatan Pulau Pinang lain pada tahun 2019.

“Namun begitu, kedua-dua usaha tersebut tidak berjaya,” katanya sambil memberitahu bahawa kos yang begitu tinggi merupakan kekangan untuk melaksanakan projek BKIP2 secara kolaborasi.

Tidak mahu berputus asa, Aziz memberitahu bahawa PDC dengan sokongan Kerajaan Negeri mengetengahkan projek BKIP2 dalam Ekspo 2020 Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui program ‘Minggu Pulau Pinang’ pada 16 hingga 23 Januari 2022.

“Kita (PDC) telah membuat hebahan projek BKIP2 ini sebelum kita ke Ekspo 2020 Dubai lagi… (dalam hebahan) kita (PDC) menjemput pelabur swasta tempatan dan pelabur antarabangsa untuk terlibat projek BKIP secara kolaborasi ini.

“Hasil dari hebahan, UMECH terbang dari Malaysia, mereka tertarik dengan projek BKIP2 ini dan mengatur satu pertemuan dengan pembiaya di Dubai untuk membiayai projek pembangunan ini.

“Sekembalinya ke Pulau Pinang, kita (PDC) telah membuat penilaian wajar (due diligence) dan kita mendapat UMECH tidak disenaraihitamkan serta mempunyai kedudukan kewangan yang positif.

“Kita (PDC) memang tidak menitikberatkan sangat soal modal berbayar syarikat kerana pelabur yang datang pada peringkat awal dengan tubuh SPV (syarikat tujuan khusus).

“Tetapi dasar PDC adalah semasa perjanjian hendak ditandatangi, mereka (rakan kolaborasi) mesti meningkatkan modal berbayar syarikat pada suatu jumlah yang berpadanan dengan saiz projek.

“Dalam aspek (modal berbayar syarikat) ini, didapati UMECH telah meningkatkan modal berbayar mereka dan menepati dasar serta polisi PDC,” jelasnya sambil memberitahu agensi tersebut senantiasa mahu mesra semua pelabur termasuk pelabur lokal demi kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang.

Soal PDC memeterai perjanjian dengan Umech Land Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat kepada Umech Construction Sdn. Bhd. (UMECH), Aziz menyatakan bahawa paling penting adalah pemegang saham bagi kedua-dua entiti firma ini adalah sama.

“Ini kerana, kita tidak mahu berlaku spekulasi dalam projek BKIP2.

“Kebelakangan ini didapati UMECH terlibat dalam pembangunan infrastruktur….jadi kepakaran mereka ini adalah sesuai dengan konsep taman perindustrian yang bukan melibatkan pembinaan bangunan perumahan yang tinggi, sebaliknya lebih kepada kerja-kerja menyediakan tanah, menambun tanah, membina jalan, pencawang TNB dan sebagainya.

“Selepas itu, barulah mereka boleh memajak 10 ekar atau 20 ekar kepada pelabur industri yang mana pelabur industri itu sendiri kena ada kepakaran dalam membina kilang-kilang mereka,” ujarnya.

Mengakhiri bicarawara, Aziz memberitahu bahawa cadangan pemajuan projek BKIP2 ‘ secara kolaborasi’ antara PDC dan UMECH hanya melibatkan tanah seluas 559 ekar, berbanding 1,235 ekar luas keseluruhan kawasan cadangan untuk dijadikan zon perindustrian baharu negeri di Batu Kawan.

“Bagi BKIP2, projek kolaborasi yang mengikat PDC dan UMECH ini yang pertama adalah tujuan pemajuan khusus untuk perindustrian serta pembangunan berkaitan perindustrian seperti asrama pekerja, kilang, gudang-gudang, kedai dan sebagainya (iaitu) sebagai pusat perkhidmatan industri…tidak boleh ditukar guna tanah itu selama tempoh 10 tahun pemajuan.

“Tanah lebih 500 ekar untuk dijadikan taman perindustrian baharu negeri bagi tempoh 10 tahun, macam-macam perkara boleh berlaku, maka, kalau satu-satu pihak rakan kolaborasi PDC lari dari tujuan asal projek, kita boleh batalkan projek kolaborasi tersebut.

“Tujuan PDC menjual tanah ini bukan sahaja untuk menjana pendapatan kepada PDC, sebaliknya untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur (kawasan perindustrian baharu negeri) di Batu Kawan.

“Untuk ‘menghidupkan’ BKIP2 ini, kita perlu membina satu jambatan (merentasi Sungai Tengah) dengan kos kira-kira RM200 juta, jadi sekarang UMECH akan biaya (selain kerja-kerja menambun tanah dan pembangunan infrastruktur BKIP2 dengan anggaran kos kira-kira RM500 juta).

“UMECH akan membangunkan kira-kira 559 ekar dan akan membangunkan semua infrastruktur BKIP2, apabila PDC membangunkan baki 500 ekar kemudian PDC akan menangguk limpahan manfaat daripada semua infrastuktur penindustrian yang telahpun dibangunkan oleh UMECH,” ulasnya lanjut.

Dianggarkan dengan nilai pembanguan kasar (GDV) RM3.5 bilion, Aziz berkata PDC percaya BKIP2 yang dimajukan oleh UMECH ‘secara kolaborasi’ bukan sahaja akan menarik lebih banyak pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing (FDI), malah sekali gus akan mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, mereka (UMECH) akan sibuk dengan kerja-kerja tanah, maka mungkin syarikat-syarikat dan kontraktor tempatan dalam sektor bina jalan, membekalkan bahan binaan dan sebagainya boleh mendapat peluang dalam bentuk projek berkaitan di situ (BKIP).

“Masuk tahun kelima pemajuan BKIP2 ini, baru kita dapat tengok dalam bentuk limpahan pelaburan dan peluang-peluang pekerjaan,” ujarnya.