BN luluskan bangunan parkir Bukit Bendera : PDC

Admin

 

GEORGE TOWN – Projek pembinaan parkir bertingkat di stesen bawah Keretapi Bukit Bendera bukan diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

ROSLI Jaafar.
ROSLI Jaafar.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar berkata, projek itu yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) pada asalnya diberikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Negeri pada September 2007, ia telah memutuskan untuk menyerahkan projek berkenaan kepada PDC.

Ini bermakna, Kerajaan Negeri PR dan Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) tidak memberikan kelulusan projek ini kerana ia adalah projek Kementerian Pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Menurut Rosli, PDC telah melantik PDC Consultancy Sdn. Bhd. bagi penyediaan rekabentuk dan pelaksanaan projek membabitkan enam hentian bas dan 112 tempat letak kereta di atas lot seluas 0.62 ekar.

Tambahnya, pelan merancang telah diluluskan pada 21 Mei 2009 dan  pihak PDC telah memohon mendapatkan kebenaran khas untuk melewatkan pembinaan dan telah memperolehnya pada 3 September 2009.

Satu tender terbuka telah dipanggil pada 23 Mac 2009 dan Lembaga Perolehan Persekutuan peringkat negeri Pulau Pinang pada 24 Jun 2009 telah meluluskan projek ini kepada DTE Construction Sdn. Bhd. pada harga RM3,958,988.26 dengan tempoh binaan selama 14 bulan.

Tarikh memulakan kerja adalah pada 10 Ogos 2009 dan tarikh siap pada 9 Oktober 2010, walaupun tarikh siap sebenar adalah pada 30 Mac 2011,” ujar Rosli.

Dalam pada itu, Rosli menyatakan bahawa pemeriksaan tapak bersama MPPP dilakukan dan tindakan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang dibangkitkan seperti isu reka bentuk yang tidak memenuhi piawaian masih diusahakan.

Pemeriksaan terakhir dilakukan pada 5 September 2011 dan beberapa cadangan penambahbaikan akan dilakukan. Kerja-kerja ini akan terus ditingkatkan sehingga MPPP berpuas hati sebelum mengeluarkan sijil menduduki,” katanya sambil menjelaskan bahawa masalah yang berlaku menyebabkan tarikh pembukaan parkir ditangguhkan dan PDC akan mengambil tindakan secepat mungkin bagi menyelesaikan semua masalah dengan mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.

Sementara itu, Guan Eng memutuskan untuk menyaman Utusan Malaysia ekoran laporan fitnah akhbar tersebut yang bertajuk “Tempat Letak Kereta Bukit Bendera Didakwa Ada Penyelewengan SPRM Diminta Siasat Guan Eng” terbitan 6 September lalu.

Beliau berkata, laporan tersebut merupakan fitnah Utusan Malaysia (Utusan) dan ia umpama budaya Utusan yang berniat jahat. Oleh demikian, beliau melalui peguam beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan dengan menyaman akhbar tersebut kerana berbohong dan menyiarkan laporan palsu.

FAKTA :

  • Kelulusan kerajaan pusat.

  • Kelulusan projek telah diberikan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Pulau Pinang dalam tahun 2007.

  • Kemudahan-kemudahan yang disediakan di tapak adalah atas kehendak serta kelulusan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang di bawah Kementerian Pelancongan.

  • Peruntukan bagi projek ini diluluskan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di bawah RMK9.  Jumlah siling peruntukan yang diluluskan adalah berjumlah RM5.0 juta.

  • Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak dimaklumkan.