KM saran gotong-royong banteras aedes

Admin
CEGAH Denggi, Hapuskan Aedes.
CEGAH Denggi, Hapuskan Aedes.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memandang serius peningkatan kes demam denggi yang melanda Pulau Pinang. Justeru, Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng telah menyarankan agar diadakan aktiviti gotong-royong di kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Menurut kenyataan beliau, sehingga 30 Julai 2011, terdapat 1,145 kes dilaporkan dengan 448 kes adalah positif denggi, iaitu peningkatan sebanyak 14% atau 55 kes berbanding tahun lalu bagi tempoh yang sama. Sehingga tempoh tersebut, terdapat dua kematian. Hal ini menjadikan Pulau Pinang berada pada kedudukan ke-2 kes tertinggi yang dilaporkan selepas Selangor yang mencatat lebih 4,000 kes.

Sehubungan itu, Guan Eng turut menyeru agar pihak berkuasa tempatan dapat berkerjasama dengan Jabatan Kesihatan serta melibatkan kesemua 40 kawasan DUN untuk menjalankan aktiviti gotong-royong secara bersepadu dalam menangani sekali gus membanteras penularan denggi di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar orang ramai memberi kerjasama dan menyertai gotong-royong yang dijalankan di kawasan kediaman masing-masing serta mengambil langkah yang proaktif dalam menanganinya.

Malah Guan Eng turut menyeru agar orang ramai menjaga persekitaran kediaman masing-masing dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes dalam usaha membanteras denggi di Pulau Pinang.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Jabatan Kesihatan mengikut daerah masing-masing di talian 04-866 8357 (DBD), 04-282 8500 (DTL), 04-5382453 (SPT), 04-5754433(SPU), 04-5935892(SPT).