Bob F.C juara Piala Penyelaras KADUN Bertam

Admin

BERTAM – Pasukan Bob F. C . muncul juara Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Kalah Mati Piala Penyelaras KADUN Bertam selepas berjaya menewaskan pasukan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) F.C. 1-0 dalam perlawanan akhir di sini baru-baru ini.

Kemenangan tersebut membolehkan Bob F.C. membawa pulang sebuah piala, pingat dan wang tunai bernilai RM1,200. Manakala bagi TUDM F.C., piala, pingat dan RM900.

Kejohanan anjuran Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam itu diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Bertam di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan isteri turut hadir menyaksikan perlawanan dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

PPKnya, Asrol Sani Abd. Razak ketika ditemui berkata, kejohanan tersebut bertujuan untuk menyemarakkan demam Kejohanan Piala Dunia 2014 Brazil.

“Penganjuran ini juga dilihat sebagai salah satu platform untuk memupuk semangat setiakawan dalam kalangan belia pelbagai bangsa di sini.

“Malah, kami di Bertam, menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat demi kecergasan dan kecerdasan tubuh,” katanya yang turut berhasrat untuk menjadikan kejohanan tersebut sebagai acara tahunan di Bertam.

Sebanyak 32 pasukan berentap dalam kejohanan berkenaan.