Bomba guna kaedah pengeboman air padam kebakaran Tapak Pelupusan Pulau Burung

JAWI – Kaedah pemadaman dari udara atau pengeboman air kini sedang giat dijalankan di Tapak Pelupusan Pulau Burung bermula awal pagi ini bagi memadam api yang masih lagi marak di kawasan tersebut.

Ketua Zon Perai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Tuan Nor Hairulddin Noraidin memberitahu bahawa operasi dijalankan menggunakan dua helikopter dari Unit Udara JBPM Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang dan melibatkan lapan anggota.

Menurut beliau, proses pemadaman kebakaran akan tertumpu di titik panas berdasarkan imej termal yang diberi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

PASUKAN Unit Udara JPBM semasa menjalankan proses pemadaman kebakaran.
GAMBARAN dari atas tapak pelupusan sampah Pulau Burung

“Setiap bom air boleh menyediakan dalam lingkungan 1,600 liter air dan operasi akan diteruskan sehingga keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah ini bertambah baik.

“Oleh itu, saya menasihati semua agensi atau orang awam agar tidak menerbangkan dron semasa operasi sedang dijalankan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa operasi di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Bercakap kepada Buletin Mutiara selepas itu, Mooi Lye merakamkan penghargaan kepada pihak Bomba kerana membantu menjalankan operasi memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Pulau Burung secara berterusan.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak Bomba kerana bertungkus-lumus membantu pada waktu yang sangat kritikal sekarang ini.

“Diharapkan dengan penggunaan kaedah pengeboman air ini akan dapat membantu memadamkan kebakaran di sini,” ujarnya ringkas.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh memaklumkan bahawa berdasarkan laporan yang diterima seramai 400 orang penduduk daripada 86 keluarga kini berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah manakala dua keluarga berada di SK Bakap Indah.

“Keadaan di kedua-dua PPS juga dilaporkan dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.

OPERASI pemadaman menggunakan kaedah pengeboman air sedang dijalankan.
KEADAAN tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang masih terbakar kini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meberitahu bahawa semua 10 buah sekolah yang berada berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung kini ditutup sehingga 21 Januari ini.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Nibong Tebal, SK Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong dan SMK Methodist.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa tapak pelupusan sampah dengan keluasan 6.5 hektar itu terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, 12 Januari lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS