Borong produk usahawan kecil, edar kepada yang memerlukan

BATU UBAN – Tahun 2022 menjadi tahun ketiga Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban memborong kuih raya daripada usahawan kecil untuk diedarkan sempena perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

 

Menurut Pengerusinya, Lee Kah Ling, inisiatif tersebut diambil bagi menyokong perniagaan industri kecil dan sederhana oleh wanita sekitar DUN Batu Uban yang mana usahawan yang dipilih pula adalah berbeza pada setiap tahun.

 

“Tahun ini JPWK Batu Uban memilih perusahaan kuih raya Zaiton Baba dengan jenama Zaiton Delights yang terletak di Flat Hamna, Sungai Dua.

 

“Kelazimannya, JPWK Batu Uban akan borong dan agihkan kuih raya ini kepada golongan yang memerlukan dan barisan hadapan yang bertugas di sekitar DUN Baru Uban,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan bersama ADUN Batu Uban, A. Kumaresan ke rumah Zaiton di sini pagi tadi.

Sementara itu, Kumaresan ketika bercakap kepada Buletin Mutiara memaklumkan bahawa beliau amat berbangga dengan hasil usaha usahawan-usahawan kecil dan sederhana seperti Zaiton.

 

“Apa yang penting, usahawan seperti ini memerlukan pemasaran terutamanya melalui sosial media untuk terus berjaya.

 

“Pemasaran digital sekarang amat penting, dan bagi pihak DUN Batu Uban, kami memborong sambil membantu mempromosi hasil usaha usahawan-usahawan seperti ini untuk diketengahkan lagi,” ujarnya.

 

 

Beliau dalam pada itu, turut mempelawa Zaiton untuk memohon bantuan Kerajaan Negeri secara percuma bagi pembelian peralatan bernilai RM3,000.

 

“Selain itu Kerajaan Negeri juga menyediakan Skim Pijaman Harapan melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu pinjaman tanpa faedah untuk kali pertama dan boleh meningkatkan nilai pinjaman sehingga RM25,000,” tambah Kumaresan lagi.

 

Zaiton dalam pada itu memberitahu bahawa tempahan kuih raya telah ditutup sejak minggu lepas.

 

“Tahun ini keseluruhan saya menerima tempahan kira-kira 200,000 keping biskut raya termasuk tempahan dari luar negeri Pulau Pinang yang dijual secara dalam talian.

“Kali ini saya juga hadir dengan produk baharu iaitu serunding dan acar,” maklum beliau yang lebih mesra disapa sebagai Kak Ton.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD