MP Batu Kawan salur peruntukan turap jalan perkarangan IPD Seberang Perai Selatan

JAWI – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menyalurkan peruntukan RM12,500 bagi melaksanakan projek penurapan jalan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata, keadaan jalan itu sebelum ini mengalami kerosakan seperti berlopak dan berlubang yang dikhuatiri akan mengundang risiko kepada orang awam terutamanya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan terbabit.

Kerja-kerja penurapan jalan di perkarangan IPD SPS sedang giat dijalankan.

“Imej PDRM bukan sahaja perlu ditegakkan dengan penampilan profesional, beramanah, tegas, jujur, berani dan komited tetapi juga dari segi penampilan infrastruktur.

“Maka apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, YB Jason H’ng Mooi Lye membawa perkara ini kepada perhatian saya, saya bersetuju untuk menyerap kos projek tersebut.

“Justeru, diharapkan dengan kerja-kerja penambahbaikan jalan ini akan dapat memberikan keselesaan kepada pengguna serta anggota dan kakitangan PDRM,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan beliau ke IPD Seberang Perai Selatan hari ini.

Selain Mooi Lye, turut serta ialah Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai.

Pada kesempatan itu juga, Kasthuriraani turut menyampaikan sumbangan buah kurma, sampul Aidilfitri dan pelitup muka kepada anggota PDRM di IPD SPS.

P. Kastruriirani menyampaikan sumbangan kurma kepada anggota PDRM IPD SPS.

Beliau juga berharap agar hubungan erat di antara PDRM dan wakil rakyat akan bertambah kukuh untuk manfaat dan kebaikan masyarakat.

“Pada masa yang sama kami mengalu-alukan juga Timbalan Ketua Polis Daerah yang baharu Tuan Azmi yang baharu ditukar dari Bukit Aman ke IPD SPS.

“Saya berharap agar kehadiran beliau di sini akan menyemarakkan lagi kerja-kerja di lapangan untuk memelihara persekitaran yang sihat dan selamat,” ujarnya yang turut menerima sijil penghargaan atas sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Tuan Lee Chong Chern.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHLI PARLIMEN BATU KAWAN