Bosch pilih Pulau Pinang bangunkan pusat kemudahan ujian baharu

Admin

GEORGE TOWN – Syarikat kejuruteraan gergasi dari Jerman, Robert Bosch (Bosch) memilih Pulau Pinang sebagai lokasi untuk membangunkan pusat kemudahan ujian komponen semikonduktor automotif dan sensor terbaharunya.

Kemudahan baharu tersebut akan dibangunkan di atas tapak berkeluasan 100,000 meter persegi di Taman Perindustrian Batu Kawan dekat Seberang Perai Selatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembangunan kemudahan tersebut dijadualkan bermula pada tahun 2021 dengan jangkaan pengeluaran siri pertama pada 2023.

“Dijangkakan kira-kira 400 pekerja akan mula bekerja di kemudahan baharu tersebut,” ujar beliau ketika mengumumkan perkembangan terbaharu dalam industri pembuatan Pulau Pinang pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook @ChowKonYeow petang ini.

Menurut Kon Yeow, kemudahan baharu itu akan memfokuskan terhadap pengujian akhir komponen yang dihasilkan di fasiliti Bosch Automotive Electronics, Dresden di Jerman.

Ia juga akan menempatkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pusat latihan.

“Pulau Pinang juga menjadi ‘rumah’ kepada tiga lokasi pembuatan Bosch sedia ada termasuk pejabat penyelidikan dan pembangunan sejak 1972.

“Bagi Bosch, ini adalah bilangan kemudahan pembuatan terbesar dalam sebuah negara di Asia Tenggara.

“(Dan) Kerajaan Negeri sangat berbesar hati kerana dapat mengeratkan lagi hubungan dengan Bosch, salah satu daripada lapan pelopor utama yang merangka perjalanan perindustrian Pulau Pinang sejak lima dekad lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Bosch kini menghasilkan sistem multimedia, alat kuasa dan komponen automotif di Pulau Pinang serta mempunyai lebih 4,500 pekerja di negeri ini kini.

Keputusan strategik Bosch untuk terus melabur di Pulau Pinang adalah sangat bermakna terutama ketika pandemik COVID-19 sedang melanda.

“Pelaburan terbaharu Bosch ini membuktikan keyakinan syarikat terbabit terhadap teknologi dan ekosistem masa depan Pulau Pinang yang lestari.

“Saya berharap dapat melihat Pulau Pinang meningkatkan penyertaannya dalam teknologi terkini automotif melalui pelaburan strategik ini.

“(Dan) agensi-agensi negeri termasuk investPenang (iP) serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan terus memberikan sokongan penuh terhadap perkembangan terbaru ini,” ulasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada para pemain industri yang terus menyokong pembangunan industri di negeri ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow, yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut berkongsi perjalanan pelaburan Pulau Pinang pada tahun 2019.

“Tahun 2019 adalah tahun yang penuh aksi bagi Pulau Pinang.

“Jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan mencapai tahap tertinggi dengan rekod aliran masuk pelaburan baharu dan pelaburan semula yang tinggi.

Pulau Pinang berjaya mencatatkan sejumlah RM16.9 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan pada tahun 2019, meningkat 192 peratus dari tahun ke tahun.

“(Dan) mencatatkan lebih daripada dua kali ganda purata bagi 10 tahun sebanyak RM8 bilion,” jelasnya.

Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang dikongsi beliau, Pulau Pinang berjaya mengumpulkan 166 projek pembuatan pada tahun 2019 dan diharapkan dapat mewujudkan 18,886 peluang pekerjaan baharu.

“Industri pembuatan elektrik dan elektronik (E&E), peralatan perubatan dan peralatan perindustrian secara kolektif merangkumi 87 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan Pulau Pinang pada 2019.

Pulau Pinang juga menyumbang sebanyak 20 peratus daripada jumlah pelaburan Malaysia dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM15 bilion menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan FDI utama negara, iaitu merangkumi 28 peratus daripada jumlah FDI Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MIDA, agensi yang menerajui promosi pelaburan serta investPenang yang bekerjasama erat menarik pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

“(Dan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan MIDA dalam tempoh yang luar biasa ini untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia dan juga Pulau Pinang,” katanya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD