BRRT penuhi impian rakyat kurang mampu miliki rumah sendiri

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

RUMAH UNTUK SEMUA… Selaras dengan Konsep 3M dalam Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2012 untuk Martabatkan Rakyat; Mesra Perniagaan dan Mantapkan Kedudukan Kewangan, Bantuan Rumah Rakyat Termiskin (BRRT) ternyata memenuhi impian warga Pulau Pinang yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat-pejabat Daerah telah memperuntukkan sejumlah RM17.6 juta bagi tujuan pembinaan dan penyelenggaraan rumah rakyat termiskin bagi tahun 2012.

Bagi daerah Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), baru-baru ini telah berlangsung Majlis Penyerahan Kunci yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man.

Bagi penerima BRRT, Nadzri Noh dari Kampung Lubuk Batu, bantuan tersebut bukan sahaja memberi beliau dan keluarga keselesaan, malah, turut menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri mendengar rintihan rakyat.

Hadir sama ke majlis penyerahan tersebut, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Arshad Salleh; Pegawai Daerah SPU, Jusni Ismail; Ketua Penolong Pegawai Daerah SPU (Pembangunan), Hakmal Effendi; dan Penghulu Permatang Berangan, Rusdi Ahmad Rushid.