Kayuhan Mesra aktifkan komuniti Kuala Jalan Bahru

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

ABDUL Halim Hussain (empat dari kanan) bersama sebahagian peserta yang menyertai acara Kayuhan Mesra di sini baru-baru ini.
ABDUL Halim Hussain (empat dari kanan) bersama sebahagian peserta yang menyertai acara Kayuhan Mesra di sini baru-baru ini.

BALIK PULAU – Kayuhan Mesra bersama penduduk Kuala Jalan Bahru yang diadakan di sini baru-baru ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila lebih 100 individu dari pelbagai latar belakang dan usia menyertainya.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain yang turut serta dalam kayuhan tersebut melihat bahawa aktiviti riadah seumpama itu bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan, malah, turut melahirkan generasi yang menghargai alam sekitar.

“Ianya (aktiviti berbasikal) selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar hijau di negeri ini,” ujar Abdul Halim ketika menyertai acara Kayuhan Mesra sejauh hampir tiga kilometer bertemakan ‘Berbasikal Menghayati Keindahan Alam Semulajadi’ sebagai sebahagian inisiatif bersama ‘Go Green Balik Pulau Cycling’.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa kesepakatan ditonjolkan penduduk Kuala Jalan Bahru dalam penyertaaan program tersebut juga mampu melahirkan komuniti yang lestari dan bersepadu.

“Aktiviti ini mampu mengaktifkan komuniti setempat serta menggalakkan mereka untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti berfaedah yang bukan sahaja dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, malah, aktiviti anjuran dalam komuniti itu sendiri,” tambah beliau sambil melihat intergriti yang ditonjolkan itu harus dicontohi dan diteladani semua.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Profesor Mohd. Zahry Shaikh Abdul Rahman, yang turut serta dalam kayuhan itu turut menggalakkan penganjuran aktiviti riadah terbabit diadakan secara berkala.