Buang bahan kimia secara haram, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur, tegas Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembuangan bahan kimia secara haram.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“Insiden pembuangan bahan kimia di Bukit Teh telah berlarutan lebih 10 tahun yang mana baru-baru ini saya sendiri telah pergi menjalankan sisatan di kawasan terbabit.

“(Dan) saya telah dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) bahawa kontena-kontena yang datang membuang sisa-sisa kimia di kawasan terbabit adalah datangnya dari luar negara.

“Ia sesuatu yang tidak boleh diterima dan kami (Kerajaan Negeri) berjanji tidak akan bertolak ansur dalam soal ini,” tegasnya pada sidang media di Komtar, sebentar tadi.

Jelasnya lagi, walaupun bahan kimia yang ditemui di ladang kelapa sawit Bukit Teh dikenal pasti sebagai bahan tidak berbahaya namun sikap tidak bertanggungjawab tersebut boleh mengundang bahaya pada masa akan datang.

“Sikap mereka yang sesuka hati membuang bahan kimia di kawasan terbabit amat bahaya dan keadaan boleh jadi lebih teruk jika perkara itu dibiarkan berterusan,” ulasnya.

Terdahulu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Pulau Pinang mengesahkan terdapat pelbagai jenis bahan kimia dibuang di ladang kelapa sawit Bukit Teh dekat Bukit Mertajam sejak awal bulan ini.

Pengarah Bomba Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata berikutan penemuan itu, pihak JAS telah meminta bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya untuk membuat pemeriksaan jenis bahan kimia berkenaan.

Dalam isu berkaitan, Boon Poh juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan mengenai keadaan beberapa sungai di negeri ini yang dilaporkan tercemar.

“Selepas insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim (Pasir Gudang, Johor), Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan tegas mengenai perkara ini kerana ia sesuatu yang tidak boleh dikompromi,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI