YDP MPSP rakam penghargaan, RM87.2 juta hasil kutipan cukai taksiran tertinggi!

Admin

SEBERANG JAYA – Sejumlah RM87.2 juta hasil cukai taksiran berjaya dikutip dalam tempoh 1 Disember 2018 hingga 28 Februari 2019 merupakan rekod kutipan tertinggi bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Bercakap kepada pemberita, Yang Dipertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud merakamkan penghargaan kepada pasukan pentadbirannya serta pelanggan Seberang Perai atas pencapaian tersebut.

“Jumlah ini merupakan rekod kutipan tertinggi yang telah dicatat berbanding rekod kutipan tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya dalam sidang media, selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Seberang Jaya pada 21 Mac 2019.

Sebelum itu, beliau bersama-sama Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmud dan barisan Ahli Majlis MPSP menyempurnakan acara cabutan bertuah sempena program Promosi Cukai Pintu 2019.

“Sebanyak 65 hadiah disediakan bagi kategori bayaran sewa secara online, agensi, bank atau kiosk, manakala 10 hadiah disediakan bagi kategori bayaran di kaunter-kaunter bayaran MPSP.

“Senarai keseluruhan 75 bakal pemenang akan ditentukan dalam majlis cabutan (bertuah) dan (mereka) akan dipanggil untuk hadir ke Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah pada bulan April 2019 bagi menentukan kedudukan hadiah yang bakal dimenangi,” jelas Rozali lagi.

Beliau memberitahu senarai pemenang boleh disemak melalui laman web MPSP, www.mpsp.gov.my mulai 22 Mac 2019. 

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD