Bubur lambuk istimewa resipi istana Pahang santapan berbuka puasa buat warga emas di Pusat Jagaan Darul Hanan

Admin

KEPALA BATAS – Seramai 70 warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Darul Hanan, di sini ceria apabila berpeluang merasai bubur lambuk istimewa hasil resipi dari istana Pahang.

Pengerusi Pusat Jagaan Darul Hanan Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, biarpun Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tidak dapat menghadiri majlis tersebut, namun penghuni Pusat Jagaan Darul Hanan tetap berpeluang merasai bubur lambuk istimewa sebagai juadah berbuka puasa.

Sebahagian warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Darul Hanan.

“Kita turut bersedih di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah tetapi kita tetap menaruh harapan suatu hari nanti Raja Permaisuri Agong akan tetap ke sini.

“Bagaimanapun, kita tetap berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana sudi datang ke majis ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Salam Ramadan di Pusat Jagaan Darul Hanan dekat Pongsu Seribu, di sini pada 24 Mei lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr. Afif Bahardin; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta dif-dif jemputan yang lain.

Dr. Wan Azizah menyampaikan sumbangan sempena Aidildilfitri kepada warga emas.

Pada majlis tersebut, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat bersama-sama dif-dif jemputan turut meluangkan masa memasak bubur lambuk istimewa untuk penghuni Darul Hanan.

Difahamkan, sebanyak 20 kilogram beras digunakan untuk memasak bubur lambuk selain menggunakan rempah ratus yang berbeza dalam dua periuk besar yang mampu menghasilkan 700 bungkus bubur lambuk.

Wan Azizah juga meluangkan masa melawat pusat jagaan itu dan menyantuni penghuni yang menetap di pusat jagaan berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD