Kerajaan Persekutuan rancang wujudkan sistem pemeriksaan satu henti di sempadan Malaysia – Thailand, kata Guan Eng

Admin

BAGAN JERMAL – Kerajaan Persekutuan dalam perancangan mewujudkan sistem pemeriksaan satu henti dekat pintu masuk di bahagian wilayah utara antara Malaysia dan Thailand.

Mengulas lanjut, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan sistem tersebut bakal melicinkan aliran perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

“Menerusi sistem tersebut, pemeriksaan barangan atau dagangan yang keluar dan masuk dari Malaysia dan Thailand hanya dibuat sekali sahaja dan tidak perlu berulang kali seperti sekarang.

Lim Guan Eng bergambar bersama-sama penerima sumbangan zakat sempena Majlis Iftar majlis iftar bersama-sama warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dekat Kampung Kastam pada Sabtu lalu.

“Malah, sistem ini juga boleh diguna pakai sehingga ke Pelabuhan Pulau Pinang yang mana secara tidak langsung akan meningkatkan peluang perdagangan di wilayah utara,” katanya pada sidang media selepas majlis iftar bersama-sama warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dekat Kampung Kastam, di sini pada 25 Mei lalu.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Ketua Pengarah JKDM, Datuk Paddy Abdul Halim dan Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail.

Walau bagaimanapun, kata Guan Eng, perkara tersebut masih lagi dalam proses perbincangan dan Malaysia perlu menunggu sehingga Thailand selesai menubuhkan kerajaan baharu sebelum meneruskan perbincangan lanjut.

“Sistem tersebut merupakan perancangan Kerajaan Malaysia dan disokong penuh oleh Thailand, namun sekarang ini perbincangan perlu ditangguhkan sehingga mereka selesai menubuhkan kerajaan dan melantik Menteri Kewangan baharu sebelum kedua-dua negara membuat perbincangan lebih mendalam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Tambahnya lagi, sebagai permulaan kedua-dua negara telah mula menjalankan beberapa projek pembangunan di sempadan masing-masing dalam usaha menjayakan perancangan tersebut.

“Kita (Kerajaan Persekutuan) telah mulakan proses ini di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang mana satu depoh trak telah diluluskan dan sedang dibina dengan kos RM25 juta,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF