Budaya 3M diharap pertingkat kualiti keterjaminan makanan di bazar Ramadan

img 2379

PANTAI JEREJAK – Bersempena bulan Ramadan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mengadakan sebuah siri ceramah dan taklimat terhadap penganjur serta pengendali makanan di bazar Ramadan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata bahawa aktiviti pemeriksaan melibatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2024.

“Antara aspek yang ditekankan melibatkan pemeriksaan premis serta persampelan makanan yang mana peniaga dikehendaki membudayakan amalan Keselamatan Makanan Tanggungjawab Bersama melalui 3M iaitu ‘Mengamalkan MASAK’, ‘Memilih’ dan ‘Melaksanakan KENDIRI’.

“Di samping itu, peniaga juga perlu menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beserta pengambilan suntikan anti-tifoid.

“Sehubungan itu, JKNPP turut menggalakkan pengunjung untuk mengimbas kod QR bagi mengemukakan sebarang aduan berhubung kebersihan dan keselamatan makanan di mana-mana lokasi bazar Ramadan yang dikunjungi,” ujarnya semasa sesi sidang media sempena Walkabout Bersepadu Bazar Ramadan 1445H baru-baru ini.

img 9292
SESI sidang media Walkabout Bersepadu Bazar Ramadan 1445H baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah JKNPP, Dr. Fazilah Shaik Alaudin serta Timbalan Pengarah Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Rafeah Sabil.

Sementara itu, Fahmi turut menasihati pengunjung agar mengamalkan pengendalian makanan dengan mengunjungi premis yang dijamin bersih.

“Saya dimaklumkan terdapat aduan mengenai peniaga yang tidak mengamalkan pembuangan sisa dengan betul kemudian sewenang-wenangnya membuang secara terus ke dalam longkang berdekatan.

“Oleh itu, diharapkan para peniaga dapat mengamalkan penjagaan kebersihan yang betul mengikut pembudayaan 3M, tambahan pula bazar (Bayan Baru) ini antara yang terbesar, hendaklah kita menjaga imej di sini sebaiknya,” tegasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

img 2404

img 9157
SUASANA sekitar Bazar Ramadan Bayan Baru.

Difahamkan, jumlah keseluruhan bazar Ramadan di Pulau Pinang yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan sebanyak 81 lokasi melibatkan 33 di bahagian Pulau.

Bazar Ramadan Bayan Baru merupakan antara bazar terbesar di bahagian pulau melibatkan jumlah keseluruhan tapak sebanyak 142 serta terdiri daripada 87 peniaga.

Teks dan Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL