Budaya inovasi tingkatkan kecekapan, fungsi Bomba – Kon Yeow

Admin

SEBERANG JAYA – Inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat menggalakkan budaya inovasi umumnya menyumbang kepada peningkatan kecekapan dalam kalangan anggota tugasan utama iaitu kerja-kerja memadam serta menyelamat masyarakat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Inovasi Tahun 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan.

“Inovasi ini menjadi penanda aras baru global, dan sudah tentu menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik serta bermanfaat, tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat,” ujarnya dalam majlis yang berlangsung di Hotel The Light di sini pada 29 Oktober 2018.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan atas kerja-kerja pencarian dan menyelamat dalam insiden runtuhan lereng di tapak pembinaan projek jalan raya berkembar Paya Terubong baru-baru ini.

Berucap pada majlis sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Yang Amat Setia Tuan Mohamad Hamdan Wahid memberitahu bahawa budaya kerja inovasi yang diterapkan menjadikan Jabatan Bomba dan Penyelamat terus relevan dalam memberi khidmat kepada masyarakat sehingga kini.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Yang Amat Setia Datuk Soiman Jahid serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, Yang Setia Saadon Mokhtar antara tetamu kehormat dalam majlis jamuan malam ini. 

Selepas itu, Kon Yeow turut menyampaikan piala pusingan dan anugerah kepada para pemenang Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bagi empat kategori induk yang dipertandingkan pada kali ini.

Pemenang, adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang yang menjuarai Kategori Hybrid; diikuti Kumpulan Cooltech dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (Kategori Primer); Kumpulan Bara dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (Pemenang Pertandingan Inovasi); dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah (Anugerah Kualiti Ketua Pengarah).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SITI NOOR NABILAH NOORAZIS