Budaya kerjasama dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar mampu dipupuk melalui program kemasyarakatan – ADUN

PULAU BETONG – Budaya kerjasama dan saling bertanggungjawab di antara para pelajar mampu dipupuk melalui pelbagai program kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail berkata, dengan mendedahkan para pelajar dengan pelbagai program kemasyarakatan, budaya kerjasama dan tanggungjawab ini dapat diterap dan dipupuk menjadi jati diri pelajar.

“Kami (KADUN Pulau Betong) sentiasa berlapang dada untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak demi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terbela,” ujarnya ketika turun padang menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertempat di Kampung Titi Teras, Balik Pulau baru-baru ini.

Seramai 42 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Binaan Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil bahagian dalam program CSR anjuran bersama di antara Construction Management 200, Pusat Khidmat ADUN Pulau Betong dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Titi Teras.

Program berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara pelajar dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya mengedarkan agihan Mutiara Food Bank seperti roti, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada 20 keluarga yang memerlukan serta gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumah warga emas, Salimah Abu Bakar, 62.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF

Gambar : ADUN