Bukan mudah pertahan gelaran juara – Nicol

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Sebagai anak jati Pulau Mutiara, Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David tidak menafikan bahawa beliau
merindui makanan di sini apabila berentap atau ketika berada di luar negara.

“Apabila balik ke Pulau Pinang, semestinya saya akan mencari char kuey teow sebagai makanan kegemaran yang paling dirindui,” katanya sambil tersenyum pada Majlis Makan Malam Khas sempena penganjuran Kejohanan Skuasy Wanita Dunia Ke-29 di sini baru-baru ini.

Sesi ramah-mesra yang diadakan khas oleh pihak penganjur kejohanan membuka peluang kepada para peminat Nicol untuk bertemu secara bersemuka dengan beliau.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk mempertahankan gelaran juara.

“Dari umur seawal lima tahun, saya sudah menceburi bidang skuasy. Saya berterima kasih kepada keluarga yang sentiasa menyokong hobi saya (pada peringkat permulaan) yang kini menjadi ‘kerjaya’ saya.

“Bagi mencapai tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah, dari kecil hingga dewasa, saya menghadapi pelbagai cabaran.

“Corak latihan harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kualiti permainan dan paling penting adalah pengorbanan besar kepada sukan ini,” jelas beliau yang berpengkalan di Amsterdam, Belanda baru-baru ini.

Pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia Ke-29 lalu, Nicol yang memburu gelaran dunia kali ke-lapan tewas kepada pemain Egypt, Nour El Shebini.

Walaupun kecewa di gelanggang sendiri, Nicol mengakui bahawa kekalahan tersebut adalah disebabkan beliau hilang fokus.

Sebelum ini, beliau memegang gelaran sebanyak tujuh kali pada kejohanan sama iaitu pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

Majlis disertai 50 jemputan khas yang berlangsung kira-kira tiga jam tersebut turut diserikan dengan persembahan pelakon sitcom
Kopitiam, Doughlas Lim dan beberapa permainan seperti kuiz serta menimang bola skuasy.