Bukit D.O. simbol ‘janji dikotai’ – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


BUKIT MERTAJAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru merasmikan Taman Rekreasi PBAPP Bukit D.O. yang siap dinaiktaraf di sini.

Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, penaiktarafan itu diharap memberi manfaat kepada lebih kurang 220,000 warga penduduk yang tinggal di sekitar Parlimen Bukit Bendera.

Beliau turut merakamkan penghargaan kerana PBAPP bukan sahaja membiayai projek tersebut, bahkan, kerja-kerja penaiktarafan taman rekreasi itu berjaya disiapkan mengikut jadual, iaitu dalam tempoh enam bulan.

“Ini bagi kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP), makna sebenar janji dikotai…jadi, itulah sebabnya kita berkumpul di sini,” ujar beliau pada majlis perasmian pembukaan di dewan terbuka taman rekreasi itu baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang), Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri), Ir. Jaseni Maidinsa (Pengurus Besar PBAPP), Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Micheal Tan Cheong Heng (Ahli Majlis bagi MPSP) turut hadir pada majlis perasmian itu.

Kerja-kerja menaik taraf taman tersebut antaraya membabitkan pembangunan dewan terbuka, laluan pejalan kaki, jogging dan berbasikal, pembinaan trek jongging, jungle track, pembinaan platform cerapan dan wakaf, tandas awam, lanskap dan sebagainya.

Guan Eng turut mengalu-alukan lebih banyak badan korporat melakukan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) serupa PBAPP.

“Saya berharap ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi korporat tempatan untuk memberi semula sesuatu yang baik kepada rakyat Pulau Pinang,” ujar beliau.

Tambahnya, urusan menyelenggara taman tersebut akan diserah kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejurus kerja-kerja menaik taraf selesai sepenuhnya.

Sebelum itu, Jaseni turut merakamkan penghargaan kepada Guan Eng kerana menyempurna majlis perasmian taman tersebut.

“Ini adalah projek hijau yang mesra rakyat,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Terdahulu, Guan Eng pada 11 Januari lepas merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan berkata, projek tersebut dijangka siap pada Julai lepas.