KN, MPPP lancar Green-Road Sharing

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TANJUNG BUNGAH – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri melancarkan rundingan awam (public consultation) untuk cadangan merancang dan mewujudkan rangkaian laluan basikal di atas jalan (carriageway) sediada di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif itu demi menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berbasikal pilihan di negara ini.

“Antaranya kini, kita (Kerajaan Negeri) dalam peringkat pelaksanaan Fasa 1 Coastal Cycling Route, di mana satu rangkaian laluan basikal ‘dedicated’ akan dibina di persisiran pantai Queensbay sehingga ke Komtar,” ucap beliau pada Majlis Pelancaran Rundingan Awam di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng turut serta pada majlis pendengaran itu.

Menurut Guan Eng, konsep Green Road Sharing merupakan satu lagi inisiatif untuk meneroka pendekatan paling sesuai bagi mempertingkatkan tahap keselamatan, kesesuaian dan keselesaan kemudahan laluan basikal di carriageway sedia ada.

“Melalui kajian yang dijalankan, penggunaan basikal untuk aktiviti harian dan senaman semakin popular di Pulau Pinang.

“Malah bilangan penduduk yang berbasikal menunjukkan peningkatan yang berterusan,” jelas Guan Eng sambil merasakan bahawa laluan basikal masih kurang lengkap dan penunggang basikal terpaksa berdepan dengan risiko keselamatan yang tinggi.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dan MPPP mencadangkan Jalan Tanjong Tokong ke Balik Pulau (lebih kurang 30 kilometer) sebagai hot spot penunggang basikal, bakal mengaplikasikan konsep ‘Green Road Sharing’ ini.

“Oleh itu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan mengambil berat pandangan orang awam, rundingan awam ini akan berterusan sehingga 3 September 2013.

“Kita akan mendapatkan statistik tahap sokong terhadap pelaksanaan konsep ini dan ianya boleh dijadikan sebagai ‘guidelines’ untuk memantapkan lagi rekabentuk ‘shared lane’ ini,” ujarnya.

Difahamkan, objektif konsep Green Road Sharing’ antara lain untuk menyediakan laluan basikal yang lebih jelas dan selamat kepada penunggang basikal. Laluan berkaitan akan dilengkapi dengan papan tanda dan demokrasi yang jelas.

Sebarang maklum balas boleh dihantar melalui [email protected] atau melalui Facebook – Green Road Sharing Concept http://www.facebook.com/pages/GreenR o a d – S h a r i n g – C o n c e p t / 499064823507080.