Bukit Kukus: Kerajaan Negeri tunggu cadangan DOSH untuk tindakan selanjutnya

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri masih menunggu cadangan daripada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bagi menentukan tindakan selanjutnya berkaitan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita berhubung tindakan tegas yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap pihak bertanggungjawab dalam insiden runtuhan lereng di Bukit Kukus pada 19 Oktober tahun lepas.

“Kita (Kerajaan Negeri) tegaskan bahawa kita masih menunggu laporan daripada pihak DOSH berhubung syor-syor yang boleh diambil tindakan.

“Dalam hal ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga menjadi mangsa kerana mereka menggunakan duit pembayar cukai untuk membiayai projek ini tetapi kerja masih tidak siap.

“Tetapi, memandangkan MBP juga pihak berkuasa tempatan (PBT), maka kita rasa secara moralnya mereka juga bertanggungjawab untuk mastikan kerja-kerja pembinaan berjalan dengan baik,” ujarnya selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 40 ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di sini pada 16 Februari 2019.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, MBPP selaku pemilik projek telah melakukan apa yang sepatutnya semasa proses perancangan awal projek berkenaan, namun kegagalan tetap berlaku di peringkat pembinaan yang mungkin berpunca sama ada daripada kontraktor, sub kontraktor atau penyemak bebas.

“Dari segi undang-undang, MBPP telah melakukan apa yang sepatutnya dengan memasukkan di dalam kontrak bahawa kontraktor mesti melantik jurutera tempatan dan jurutera penyemak bebas untuk mewakili mereka (MBPP),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Bukit Kukus ketika membentangkan hasil siasatan lengkap berhubung insiden kemalangan di tapak pembinaan menyatakan bahawa pihak yang bertanggungjawab tersebut adalah Yuta Maju Sdn. Bhd. (kontraktor), Jurutera Perunding GEA (M) Sdn. Bhd. (Konsultan), G&P Professional Sdn. Bhd. (Penyemak Bebas – ICE) dan MBPP selaku pemilik projek.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : K. THAARSHENII