Kerajaan Negeri teruskan program saringan mamogram percuma, sasar 5,000 wanita setahun

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan Program Saringan Mamogram secara percuma melalui kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi tempoh 2019 hingga 2022 dengan peruntukan berjumlah RM2.658 juta.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, program berkenaan menyasarkan golongan wanita berumur 35 tahun ke atas dan berdaftar sebagai pengundi atau pemastautin di negeri ini.

Carta aliran program mamogram percuma yang perlu dilakukan bagi yang berminat.

“Program ini merupakan kesinambungan sejak tahun 2015 yang mana sehingga tahun lepas seramai 11,834 orang wanita berumur 35 tahun dan ke atas telah disaring secara percuma.

“Selama tempoh tersebut, seramai 828 atau tujuh peratus wanita telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan penyiasatan atau rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, kita menyasarkan seramai 5,000 wanita disaring setiap tahun bermula tahun ini,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, Pengarah LPPKN Negeri Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah dan Pengurus Program Pembangunan Wanita dan Keluarga, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Susan Chong.

Mengulas lanjut, Afif berkata, mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan saringan mamogram percuma boleh berdaftar di Klinik Nur Sejahtera LPPKN negeri Pulau Pinang iaitu di Seberang Jaya, Bertam dan Jalan Burma di George Town.

Klinik Nur Sejahtera yang berdaftar di bawah LPPKN.

“Tiga lokasi ini adalah tempat mereka akan disaring sebelum dirujuk kepada pusat-pusat pemeriksaan mamogram yang berdaftar di bawah LPPKN iaitu di Hospital Gleneagles, Lam Wah Ee, Bagan Specialist Centre dan Pusat Diagnostik Anda.

“Justeru, bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini boleh segera ke Klinik Sejahtera LPPKN mulai hari ini (18 Februari) dan juga Pusat-pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya lagi.

Difahamkan, program saringan mamogram percuma merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Program Pulau Pinang Sihat dengan kerjasama PWDC dan Pink Penang yang merupakan badan sokongan kepada pesakit-pesakit kanser payudara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS