Bukit Kukus: Kerajaan Negeri tunggu laporan DOSH

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini sedang menunggu laporan daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung pembinaan jalan raya berkembar Bukit Kukus ekoran berlaku insiden runtuhan lereng tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima dua laporan daripada jawatankuasa siasatan khas yang diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.

“Tadi, kita (Kerajaan Negeri) menerima laporan daripada pihak MBPP tentang kemungkinan sebab insiden runtuhan berlaku dan pihak yang bertanggungjawab sebelum menentukan tindakan lanjut.

“Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato’ Seri Farizan Darus) akan berhubung dengan pihak DOSH bagi mendapatkan perkembangan terkini termasuk bilakah arahan henti kerja akan ditarik balik supaya kerja-kerja di tapak dapat diteruskan, dan membolehkan Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengambil langkah seterusnya,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut serta, barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menjawab soalan pemberita mengenai faktor insiden runtuhan, Kon Yeow menegaskan bahawa perkara tersebut akan didedahkan selepas Kerajaan Negeri menerima laporan dan hasil siasatan lengkap daripada pihak DOSH.

“Lebih baik kita tunggu laporan akhir daripada pihak DOSH kerana mereka adalah badan yang bertanggungjawab dan laporan yang diterima (Kerajaan Negeri) hari ini adalah untuk pengetahuan dalaman sahaja.

“Semuanya bergantung kepada pihak DOSH, dan saya juga percaya bahawa mereka akan mendedahkan hasil laporan tersebut untuk pengetahuan umum,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan penubuhan jawatankuasa siasatan khas insiden tanah runtuh dekat tapak projek pembinaan jalan raya berkembar Paya Terubong di Bukit Kukus yang berlaku pada 19 Oktober tahun lepas.

Selain Ahmad Zakiyuddin, jawatankuasa khas tersebut turut dianggotai Zairil Khir Johari (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir), seorang jurutera dari Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) serta dua jurutera dari Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD