Ketua Menteri jamin tarif air Pulau Pinang kekal terendah

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi jaminan bahawa tarif air di Pulau Pinang masih kekal terendah berbanding negeri-negeri lain walaupun selepas berlaku kenaikan (tarif air) membabitkan seluruh negara.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang menunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berhubung perkara tersebut.

“Sejak beberapa tahun lalu, memang terdapat isu berhubung semakan tarif air yang mana Pulau Pinang juga tidak terkecuali.

“Justeru, kita sudah berbincang dan sedang menunggu keputusan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) berhubung cadangan dimuktamadkan Kerajaan Negeri seperti mana yang dimaklumkan kepada pihak Kementerian.

“Walaupun selepas tarif baru diumumkan, namun tarif air di Pulau Pinang masih akan kekal terendah di seluruh negara. Itu satu jaminan,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata demikian susulan pengumuman Kementerian berkaitan berhubung kemungkinan kenaikan tarif air secara berperingkat tahun ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Turut serta, barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa surcaj penjimatan air (WCS) berkemungkinan akan dimansuhkan sekiranya tarif air baharu diguna pakai.

“Diharapkan selepas tarif dinaikkan surcaj air akan dimansuhkan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD