Cabar adrenalin anda dengan meluncur di zipline colugo, The Habitat Bukit Bendera

Admin

IBARAT terbang seperti seekor kubong atau pun nama Inggerisnya colugo…

Itulah, pengalaman mengujakan dapat digambarkan penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan Juru Gambar, DARWINA MOHD. DAUD yang diberi peluang merasai pengalaman meluncur di zipline Flight Of The Colugo dekat The Habitat, Bukit Bendera.

Kehadiran kami disambut dua pemandu atau guide iaitu Mohamad Fareez Razali dan Nur Zailis Ishak yang ditugaskan membawa kami menerokai tarikan baharu di sini.

Mohamad Farez Razali (kiri) dan Nur Zailis Ishak (kanan)

Zipline atau lazimnya dipanggil flying fox sememangnya menguji adrenalin setiap peserta yang ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar, kerana ketinggian dan kelajuan ketika melakukan luncur kabel berkenaan.

Sebelum melangkah masuk, kami terlebih dahulu diberikan taklimat keselamatan yang ketat.

Cabaran pertama, penulis diberi pelung mencuba pakej honeymoon zip iaitu pakej termurah dengan harga RM31.80.

Menurut Fareez dan Zailis, pakej ini dinamakan honeymoon zip berikutan aktiviti luncur yang diadakan pada laluan ini dilakukan secara berpasangan pada kabel bersebelahan.

“Laluan di honeymoon zipline ini adalah yang terpanjang antara semua point (pelantar) yang ada, laluannya kira-kira 80 meter (m) dan keseluruhan ada sembilan point (250m), satu menuruni pelantar (abseiling) dan satu merentasi titi gantung.

Laluan di honeymoon zipline.

“Apa yang kami tawarkan di sini mungkin sedikit berbeza dengan beberapa tempat lain di Pulau Pinang ini di mana kami menawarkan pendidikan kepada peserta disebalik keseronokan yang terdapat di sini.

“Kami akan beri pendedahan dan penerangan kepada peserta… untuk itu memang guide akan menemani para peserta dari point satu ke point sembilan berbanding tempat lain mungkin cuma di awal sahaja guide beri penerangan,” ujar Fareez ketika ditemubual semasa berehat di salah satu pelantar yang ada.

Di salah satu pelantar, pengunjung berpeluang menikmati panorama hijau Western Hill dan juga Laut Andaman yang pastinya mengasyikkan.

Penulis amat tertarik dengan teknologi pembinaan pelantar pada pokok yang mesra pokok, sekiranya anda merasakan ianya menggunakan skru atau paku pada pokok anda salah.

Teknologi pembinaan pelantar yang mesra pokok.

“Di sini kami memelihara pokok, jadi pembinaan pelantar hanya melekatkan tiang besi tersebut sambil dilapikkan getah agar pokok yang digunakan tidak cedera.

“Yang paling penting adalah pokok tersebut boleh membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah,” jelasnya lagi.

Antara pokok yang menjadi tiang utama di sini termasuklah damar minyak, jelutong dan terap nasi.

Pengalaman paling mengujakan di sini sudah tentunya menuruni pelantar kira-kira 10m menggunakan tali (abseiling).

Ianya sekali lagi akan menguji keberanian anda sekiranya anda jarang melakukan aktiviti lasak serta seorang yang takutkan ketinggian.

Berkenaan jumlah kunjungan peserta dalam satu-satu masa, Fareez menjelaskan dua pemandu boleh membawa kira-kira lapan orang perserta.

“Kalau nak lebih mudah lebih baik buat tempahan awal, jadi boleh pilih slot mana yang kita mahu dan selesa buat masa ini The Habitat menyediakan tiga slot namun ianya akan dirombak dalam masa terdekat.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut orang ramai yang berminat boleh menghubungi The Habitat melalui Whatsapp di 019-6457741 atau talian 04-8267677 dan emel di [email protected].

Jambatan titi gantung yang terdapat dalam pakej zipline.
Antara aksi menarik dari lensa Buletin Mutiara.