Contohi Lexis tidak jemu adakan CSR, seru ADUN

Admin

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz mengajak syarikat atau pemilik perniagaan untuk mencontohi pengurusan Hotel Lexis Suites Penang yang tidak jemu mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Anak-anak Yatim Balik Pulau di Hotel Lexis, semalam.

“Hari ini Lexis mengadakan majlis iftar untuk kira-kira 40 orang anak yatim di sekitar Balik Pulau dan setiap tahun Lexis tidak pernah gagal menjalankan CSR mereka.

“CSR seperti ini seharusnya diikuti oleh organisasi-organisasi lain agar segenap lapisan masyarakat turut merasai nikmat limpahan ekonomi di negeri ini,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Pengurus Besar Hotel Lexis Suite Penang, Ben Ho.

Selain berbuka puasa, kanak-kanak terbabit turut dihiburkan dengan acara permainan acara yang dikelola oleh Lexis termasuk pemberian duit raya oleh Azrul Mahathir.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD