Cabaran ibu bapa era digital semakin sengit, institusi keluarga kekal tunjang Penang2030 – Ketua Menteri

Admin
28332b8e f3fa 42c4 97f7 35dce8a31820 SUFI Medina Ahmad Shahreazal (tengah) dengan diiringi ibu bapa menerima hadiah penghargaan daripada Puan Tan Lean Kee (dua dari kanan) sambil diperhati oleh Ketua Menteri (dua dari kiri), selepas dipilih memenangi tempat ketiga bagi Kategori 2 Sekolah Rendah (10 hingga 12 tahun) Pertandingan Video Pendek Sempena Sambutan Hari Ibu Bapa di sini Lee Kongsi, Jalan Burma di sini pada 21 Jun 2026.

GEORGE TOWN – Cabaran membesarkan anak-anak pada era digital masa kini menuntut tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada ibu bapa.

Selain memenuhi keperluan asas keluarga, golongan penjaga kini berdepan tugas berat dalam membimbing generasi muda mendepani ledakan teknologi, media sosial serta isu keselamatan siber yang semakin kompleks.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, peranan ibu bapa sebagai pendidik pertama amat kritikal dalam membentuk akhlak, nilai dan jati diri anak-anak.

Menurut beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, selari dengan Visi Penang2030, institusi keluarga utuh kekal menjadi tunjang utama dalam melahirkan masyarakat yang progresif, inklusif dan sejahtera di negeri ini.

“Dalam era digital hari ini, peranan ibu bapa semakin mencabar apabila mereka bukan sahaja bertanggungjawab memenuhi keperluan keluarga, malah membimbing anak-anak menghadapi cabaran teknologi, media sosial, keselamatan siber serta perubahan dunia pendidikan dan kerjaya,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek di sini pada 21 Jun 2026.

Isteri kepada Ketua Menteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee dan Pengarah Pusat Khidmat KADUN Padang Kota dan Parlimen Batu Kawan, Ewe Chee Way turut sertai majlis tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Wanita Mutiara Pulau Pinang dan Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota atas penganjuran bersama Pertandingan Video Pendek sempena Sambutan Hari Ibu Bapa.

Dalam majlis sama, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menzahirkan rasa bangga atas penyertaan 18 peserta pelbagai peringkat umur dalam yang dianjurkan.

Jelas beliau, penglibatan tersebut membuktikan bahawa nilai kasih sayang dan penghargaan terhadap ibu bapa masih menebal, malah berjaya diterjemahkan secara kreatif melalui kandungan digital yang positif.

Buletin Mutiara difahamkan para pemenang membawa pulang hadiah bernilai sehingga RM2,000 mengikut kategori, berserta piala dan hamper.

Bagi Kategori 1 Sekolah Rendah (7 hingga 9 tahun), pemenang tempat pertama ialah Cheng Jing Yu, diikuti Ong Xin Rou (kedua) dan Ooi Chang Zhou (ketiga).

Bagi Kategori 2 Sekolah Rendah (10 hingga 12 tahun), Neoh Enn Shen memenangi tempat pertama, diikuti Nicodemus Chow Zhe-En (kedua) dan Sufi Medina Ahmad Shahreazal (ketiga).

Manakala, Tang Tze Yu juara Kategori 3 Sekolah Menengah (13 hingga 18 tahun), diikuti Jacob Hii Jie En di tempat kedua.

Bagi Kategori Keempat dan terakhir yang melibatkan penyertaan dalam koridor umur 19 tahun dan ke atas, pemenang adalah Loh Wee Han, Hong Jiw Hoong (kedua) dan Lee Liang Jing (ketiga).

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap pengiktirafan berkaitan dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak muda untuk terus menghasilkan kandungan digital yang kreatif, berinformasi dan membawa impak bermanfaat kepada masyarakat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT