Cadang pasang CCTV cegah vandalisme, jenayah

PAYA TERUBONG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berharap cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik sekitar Taman Rekreasi Taman Beriksa mampu dilaksanakan bagi mengatasi kegiatan vandalisme dan jenayah di sini.

Katanya, langkah itu adalah wajar yang secara tidak langsung akan membuktikan bahawa Kerajaan Negeri serius dalam mengatasi ‘permasalahan’ yang umumnya membawa banyak kerugian.

“Dengan adanya sistem pengawasan 24 jam, sebarang salah laku sama ada jenayah mahupun vandalisme akan dikesan serta-merta dan pesalah yang ditangkap boleh disabitkan dengan kesalahan merosakkan harta benda awam ataupun mencuri.

“Saya yakin, pemantauan berterusan dan tindakn penguatkuasaan yang dilaksanakan MBPP apabila pemasangan CCTV siap kelak mampu mengatasi kegiatan vandalisme dan juga membendung kejadian jenayah di kawasan riadah di sini,” katanya yang turut memohon agar penduduk di Taman Beriksa memberikan kerjasama dalam mencegah kegiatan-kegiatan tidak sihat berkenaan di sini.

Soon Hin berkata demikian ekoran kejadian terkini yang mana tiga unit alat permainan dan senaman di lokasi berkaitan dilaporkan hilang, manakala beberapa kemudahan awam seperti tong sampah dan kerusi turut rosak akibat perbuatan vandalisme.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid dan Tan Hooi Peng yang bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian berkaitan.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);