Cadang tapak pasar lama Sia Boey jadi pusat agihan makanan gelandangan

Admin

SEBELUM ini, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, PHEE BOON POH memaklumkan mengenai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan terpinggir di negeri ini untuk mendapatkan makanan yang selamat dan berkhasiat.

 

Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, LAW SUUN TING mendapatkan maklum balas secara eksklusif ‘mastermind’ di sebalik inisiatif tersebut.

 

Menurut Boon Poh, pihaknya kini masih pada peringkat perbincangan dengan pihak berkaitan bagi menyusun atur pelaksanaan agihan makanan kepada golongan bergelandangan secara terus di sekitar George Town.

 

Pada peringkat permulaan, cadangan untuk mewujudkan pusat agihan makanan ini adalah di bawah Komtar, namun kerana keadaan yang penuh dengan asap kenderaan dan habuk, maka tidak sesuai.

 

“Oleh itu, cadangan kini terarah ke Taman Arkeologi Bandar Sia Boey, iaitu di dewan terbuka.

TERMINAL bas di Komtar yang merupakan pusat perkhidmatan bas henti-henti ke seluruh bahagian pulau. (Gambar : Arkib).

“(Dan) perkara itu perlu dibincangkan bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta pihak berkaitan untuk menggunakan fasiliti di Sia Boey,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan yang diajukan.

 

Menyentuh mengenai prosedur operasi standard bagi pusat agihan makanan itu, Boon Poh berkata, buat masa ini pihaknya mencadangkan supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin mengagihkan makanan kepada gelandangan mengambil giliran.

 

“Saya amat menghargai usaha NGO-NGO yang amat prihatin dan ingin membantu golongan gelandangan.

 

“Namun, ada kelemahan dari segi pelaksanaan agihan sehingga berlakunya isu pembaziran.

 

“Misalnya, pernah dilihat ada empat hingga lima NGO yang agih makanan kepada orang yang sama (gelandangan), bermakna seorang gelandangan akan dapat empat hingga lima bungkusan makanan.

 

“Ada gelandangan yang membawa pulang makanan-makanan yang diterima, ada yang memilih mana yang mahu dan buang atau tinggalkan mana yang tidak diingini.

 

“Oleh itu, melalui inisiatif ini, NGO yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan makanan kepada gelandangan perlu berdaftar terlebih dahulu dan mengambil giliran.

 

“(Dan) sekiranya hari tersebut tiada NGO yang mengagihkan makanan, maka pihak Mutiara Food Bank akan membantu menyediakan makanan dan minuman,” jelasnya.

DEWAN terbuka di Tapak Arkeologi Bandar Sia Boey yang sering menjadi pusat aktiviti komuniti. (Gambar: Arkib).

Selain NGO, individu yang ingin mengambil makanan yang diagihkan juga perlu menjalani proses pendaftaran.

 

Masalah gelandangan ini merupakan masalah sosial yang perlu ditangani.

 

“Melalui inisiatif agihan ini, individu yang hadir ke pusat agihan perlu didaftarkan.

 

“Tujuannya adalah untuk mengumpul data terkini bagi membolehkan Kerajaan Negeri memahami kesulitan yang dihadapi oleh golongan ini.

 

“(Hal ini demikian kerana), ada dalam kalangan mereka yang tiada tempat berteduh atau homeless, ada yang mempunyai masalah mental dan sosial, ada kutu rayau serta ada yang terkandas dari luar negeri.

 

“Data yang ada kini adalah data lama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sudah lebih dua tahun setengah, (jadi melalui kaedah pendaftaran) maka data baru akan diperoleh.

 

“Sekiranya didapati ada dalam kalangan mereka ini orang susah, Kerajaan Negeri mempunyai saluran bantuan yang disediakan, namun sekiranya tiada data, masalah ini tidak dapat diselesaikan,” katanya.

 

Tambahnya lagi, bukan setakat bantuan keperluan harian, Kerajaan Negeri juga sebelum ini pernah menempatkan gelandangan yang diselamatkan di rumah-rumah orang tua; rumah yang disewakan khas oleh JKM (terdapat empat unit) dan ada yang dihantar pulang ke negeri asal.

 

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri amat berharap Pusat Transit Gelandangan di Jalan C.Y. Choy dapat beroperasi selewat-lewatnya bulan Julai.

 

“Projek ini mengalami kelewatan disebabkan bahan-bahan binaan yang kebanyakan dari China (penghantaran bahan tidak sekerap sebelum pandemik) dan telah memperoleh lanjutan tempoh masa, dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Ogos.

 

“Apabila pusat transit ini beroperasi kelak maka pusat agihan makanan juga akan digerakkan,” ulasnya lanjut.

PHEE Boon Poh.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pusat transit tersebut juga bakal menjadi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang bukan sahaja memberi peluang kepada warga emas bersosial secara sihat tetapi juga membuka ruang untuk menjana pendapatan dengan membantu pengoperasian di kafe atau di pusat kitar semula yang terdapat di premis berkenaan.

 

Kerajaan Negeri tekad untuk mengembalikan semula maruah kepada golongan gelandangan ini, kerana mereka juga manusia.

 

“Selain itu, melalui perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), mereka juga sedia membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan dan perlindungan.

 

“Bukan itu sahaja, di pusat transit itu nanti juga akan disediakan khidmat kesihatan bagi membolehkan golongan bergelandangan ini menjalani saringan kesihatan dalam suasana yang selesa.

 

“Begitu juga di Sia Boey nanti, yang mana akan disediakan meja dan kerusi bagi membolehkan penerima agihan makanan ini makan dalam suasana yang lebih kondusif, bukannya di tepi-tepi longkang,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu lagi.

 

Menyentuh mengenai inisiatif sama di bahagian Seberang Perai, Boon Poh memaklumkan bahawa buat masa ini terdapat satu unit rumah yang disewakan bagi tujuan agihan berdekatan dengan Penang Sentral hasil inisiatif ADUN setempat.

 

“Namun, di bahagian pulau adalah yang julung kali bakal dilaksanakan (secara teratur),” katanya.

 

Di samping itu, Boon Poh memberitahu bahawa nasib golongan penarik beca juga menarik perhatian Kerajaan Negeri.

 

“Sebanyak dua unit rumah di bawah MBPP telah disewakan kepada penarik beca yang ingin bermalam.

 

(Inisiatif ini) adalah untuk memastikan penarik beca tidak lagi tidur di dalam beca di tepi-tepi jalan kerana boleh mengundang bahaya.

 

“Sehingga hari ini juga, Kerajaan Negeri meneruskan pembayaran elaun setiap dua minggu kepada penarik beca (yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan turut terkesan akibat pandemik),” katanya yang berhasrat untuk memahami keperluan golongan memerlukan di negeri ini.