Cadangan atasi kenderaan laju di jalan servis dekat Taman Bunga Merah akan diteliti

Admin

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan akan meneliti beberapa cadangan bersama-sama pihak berwajib bagi menyelesaikan isu kenderaan dipandu laju di laluan berhadapan Taman Bunga Merah, Sungai Dua di sini.

 

 

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan adalah termasuk membina transverse bars (jalur rentas kuning) dan meletakkan papan tanda had laju di jalan servis tersebut selepas persimpangan Petronas.

 

 

“Memang ada permintaan daripada penduduk untuk membina bonggol, namun saya difahamkan perkara itu tidak digalakkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana terdapat beberapa isu, antaranya memberi kesan kepada kesihatan ibu mengandung dan sebagainya.

 

 

“Untuk ‘speedtable’ pula mungkin kurang bersesuaian di kawasan ini, jadi cadangan seperti membina transverse bars dan papan tanda amaran dan had laju mungkin lebih bersesuaian.

 

 

“Sebelum ini, penduduk Taman Bunga Merah mengadu banyak pemandu kereta dan penunggang motosikal membawa kenderaan mereka dengan laju dan menggunakan jalan ini sebagai jalan pintas,”ujar Kumaresan pada lawatan teknikal di berhadapan Taman Bunga Merah di sini pagi tadi.

 

 

Turut hadir, wakil-wakil JKR dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bunga Merah, Yong Chia Boon dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Bunga Merah, A. Balasundram.

 

 

Antara isu lain yang turut dibangkitkan oleh penduduk pada lawatan teknikal tersebut termasuklah isu kebersihan longkang dan Semak-samun melibatkan tanah milik badan kerajaan yang menimbulkan ketidakselesaan di kawasan Taman Bunga Merah.

 

“Saya akan menghantar aduan bertulis kepada Pejabat Daerah dan Tanah bagi Daerah Timur Laut (DTL) untuk pembersihan kawasan ini dan terus menutup kawasan yang menjadi punca kepada permasalahan ini.

 

 

“Lawatan-lawatan teknikal seperti ini sememangnya menjadi rutin kepada saya untuk mendekati dan cuba untuk membantu penduduk menyelesaikan permasalah yang timbul di kawasan mereka,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD