Cadangan bina bangunan PPDTL dan kompleks pendidikan sejajar keperluan semasa

GEORGE TOWN – Cadangan untuk membangunkan sebuah bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut (PPDTL) yang baharu dan kompleks pendidikan di jajaran antara Jelutong sehingga ke Pengkalan Weld merupakan antara isu yang dibangkitkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad pada pertemuan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

Menurut Abdul Rashid, pejabat PPDTL yang ada kini masih menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Island dan sebahagian lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Almashoor dekat Jalan Sultan Ahmad Shah.

 

Sememangnya, ada keperluan untuk wujudkan pejabat di bangunan sendiri demi memudahkan segala urusan berkaitan.

 

“Pada masa ini, cadangan adalah di tapak seluas kira-kira dua ekar bersebelahan sekolah antarabangsa, Wesley Methodist School di Lebuh Sungai Pinang.

 

“(Dan) pihak kami (Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, JPNPP) juga bercadang untuk membangunkan bangunan bertingkat beserta parkir,” jelasnya pada sesi kunjungan rasmi di Komtar.

 

CHOW Kon Yeow dan Abdul Rashid Abdul Samad (kiri) meneliti pelan lokasi cadangan pembangunan pada pertemuan di Komtar baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, Abdul Rashid turut membangkitkan isu keperluan membangunkan sebuah kompleks pendidikan sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah bagi menampung kapasiti pelajar yang kian bertambah akibat pertambahan populasi di jajaran antara kawasan Jelutong sehingga ke Pengkalan Weld.

 

“Bagi tujuan ini, pihak kami mencadangkan tapak di Lot 574 Bandar George Town Seksyen 8 Daerah Timur Laut.

 

“Malah, cadangan ini juga telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan semasa kunjungan beliau ke JPNPP baru-baru ini.

 

“JPNPP bukan sahaja menitikberatkan perkembangan akademik para pelajar tetapi juga memastikan kemudahan pendidikan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

 

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow memaklumkan bahawa cadangan untuk membangunkan tapak tersebut pernah dikemukakan sebelum ini.

 

Sekiranya pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) sudah mempunyai peruntukan, maka boleh dipercepatkan usul untuk membangunkan pejabat PPDTL (yang baharu).

 

“Cuma untuk pembangunan di Lot 574, tapak tersebut telah dikenal pasti sebahagiannya (adalah) untuk membangunkan stesen LRT (Transit Aliran Ringan).

 

“Malah, Seksyen Pengangkutan (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, BPEN) kini sedang memperhalusi pelan di kawasan tersebut.

 

“Maka untuk membangunkan sebuah sekolah atau kompleks pendidikan mungkin tidak bersesuaian.

 

“(Dan) mungkin pihak JPNPP boleh mempertimbangkan untuk membangunkan pejabat PPDTL di tapak tersebut yang mana dilihat lebih sesuai dan memudahkan urusan orang ramai,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi.

 

Hadir sama pada kunjungan tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan), Wan Sajiri Wan Hassan; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Yusof Shaari; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Infrastruktur & Perolehan), Huzaimi Ghazali; Penolong Pengarah (Sektor Sumber Manusia), Syariman Alias dan Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah), Jefree Mustapha.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI