Kerjasama politik sempena PRN Pulau Pinang perlu keputusan PH Pusat, respons Kon Yeow

KETUA Menteri semasa sesi temuramah secara langsung dalam rancangan Chupp @ MUTIARAfm terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang di sini pada 3 Januari 2023.

PULAU TIKUS – Cadangan mengadakan kerjasama dengan melibatkan Barisan Nasional (BN) atau sebagainya sempena menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dijangka pada pertengahan tahun ini perlu diputuskan oleh barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH) peringkat kebangsaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Negeri memberi respons tersebut semasa sesi temuramah secara langsung dalam rancangan Chupp @ MUTIARAfm terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang di sini pada 3 Januari 2023.

“Tiada ada sesiapa menjangkakan Kerajaan Perpaduan (antara PH dan BN) dibentuk, sekarang telahpun terbentuk (pada peringkat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Tetapi, kita (PH Pulau Pinang) berasa ianya (kerjasama antara PH dan BN) berlaku, kita masih menunggu keputusan serta arahan daripada pucuk pimpinan Pusat yang semestinya akan meneliti isu ini,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang.

Jika berlaku kerjasama antara PH dan BN sempena PRN nanti, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa akan berlaku pembahagian semula kerusi untuk dipertandingkan.

“(Atas semangat Kerajaan Perpaduan,) sebenarnya kerjasama telahpun terjalin pada peringkat persekutuan, secara tidak langsung pada peringkat negeri (Pulau Pinang) mungkin ia akan berlaku.

“Tetapi, ia melibatkan cara berfikir di luar kotak termasuk bagaimana soal pembahagian kerusi (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN yang dipertandingkan) dan sebagainya serta perkara-perkara penting lain dalam pilihan raya.

“Jika berlaku kerjasama (peringkat negeri Pulau Pinang), kerusi perlu disusun semula dan dibahagi semula,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga penyandang ADUN Padang Kota sejak tahun 2008 turut memberi gambaran supaya dapat mengekalkan kerusi untuk bertanding di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) sama.

“Kalau tidak ada keputusan lain daripada pimpinan, saya pilih kekal (bertanding) di Padang Kota,” respons beliau dalam nada sederhana.

Sebagai rekod, PH Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kira-kira lebih empat tahun lepas memenangi 37 daripada kesemua kerusi ADUN Pulau Pinang. Namun, ‘Langkah Sheraton’ pada bulan Februari 2020 telah membawa tiga lagi ADUN keluar dari blok PH Pulau Pinang.

Sementara, pasca PRU15 pada bulan November tahun lepas pula menyaksikan Pengerusi PH, Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dipilih menjadi Perdana Menteri Ke-10 serta menubuhkan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan dengan melibatkan lima gabungan parti politik utama iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING