Cadangan bina Kompleks Makanan Taman Sutera Prima dikemuka kepada MPSP – ADUN

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan bahawa pihaknya baru-baru ini sudah mengemukakan permohonan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berhubung cadangan pembinaan sebuah kompleks makanan baharu di Taman Sutera Prima di sini.

Menurutnya, sebelum ini, beberapa masalah berbangkit telah timbul ekoran penjajapenjaja menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan tersebut.

“Perkara tersebut telah menimbulkan beberapa masalah kepada penduduk taman ini seperti masalah parkir yang terhad, kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

“Memang kita ada perancangan mewujudkan sebuah kompleks makanan atau astaka untuk kemudahan peniaga-peniaga di sini menjalankan perniagaan dengan lebih sempurna.

“Walau bagaimanapun, ianya masih di peringkat perancangan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada sidang media penganjuran Program Seberang Jaya Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat dekat Taman Sutera Prima di sini.

Pada program tersebut, Afif turut meluangkan masa mendengar maklum balas penduduk setempat berhubung isu-isu kebersihan dan infrastruktur.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Tun Hussein Onn, Mahboob Rahman; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sutera Prima, Datuk Steven Chong dan Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga Taman Sutera Prima, Arif Awang.