Exco seru Pusat beri keutamaan peruntukan penyelenggaraan RMM

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Selain memberi keutamaan terhadap pembekalan rumah mampu milik (RMM), Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara konsisten turut memberi tumpuan berhubung isu penyelenggaraan membabitkan rumah rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR).

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang terserlah apabila tabung khas penyelenggaraan iaitu Tabung Penyelenggaraan 80:20 diwujudkan pada 2013.

“Tabung 80:20 ini adalah bagi membantu membiayai kos penyelenggaraan melibatkan RMM Jenis A (kos rendah) dan Jenis B (kos sederhana rendah), seperti kerjakerja menyelenggara lif, tangki air, sistem perpaipan dan bumbung.

“Malah, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta pada 2013 dan RM2.85 juta setiap tahun bagi tempoh 2014 sehingga 2016 bagi melaksanakan projekprojek penyelenggaraan RMM Jenis A dan B di Pulau Pinang,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri kepada Perbadanan Pengurusan (MC) Pangsapuri Sri Tanjung dekat Jalan Perak di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, susulan itu, Mesyuarat Exco juga meluluskan cadangan memperluaskan kelayakan skim perumahan dengan memperkenalkan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 peratus Pulau Pinang (TPM80PP) pada 15 Jun 2016 khusus bagi kategori skim perumahan berharga sehingga RM150,000.

“Tabung dengan nisbah 80:20 akan dikekalkan bagi harga perumahan di bawah RM100,000, manakala bagi yang berharga RM100,001 sehingga RM150,000, nisbah agihan adalah 60:40.

“Walau bagaimanapun, bagi kerja-kerja pengecatan semula dan turap jalan, nisbah 20:80 ditetapkan bagi kedua-dua skim rumah (berharga di bawah RM100,000 dan RM150,000),” jelasnya berhubung pengenalan TPM80PP.

Difahamkan, MC Pangsapuri Sri Tanjung merupakan skim perumahan pertama yang diluluskan bagi penurapan jalan di bawah skop kepenggunaan baharu berkaitan, iaitu TPM80PP.

“Kos keseluruhan penurapan jalan di Pangsapuri Sri Tanjung adalah RM15,900 iaitu RM12,720 (80 peratus) dibiayai MC Pangsapuri Sri Tanjung dan Kerajaan Negeri (20 peratus).

“(Dan) sehingga kini, sejumlah 20 permohonan telah diluluskan di bawah TPM80PP dengan kos RM2.215 juta akan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri, dan RM1.889 juta dibiayai sendiri oleh penduduk melalui MC atau Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB),” ujarnya.

Menyentuh inisiatif Kerajaan Pusat melalui Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), Jagdeep meluahkan kekecewaan apabila 143 permohonan yang dibuat sejak 2012, hanya 27 permohonan diluluskan.

“Kenyataan saya ini sememangnya disahkan melalui jawapan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Ketua Menteri dalam persidangan Parlimen barubaru ini bahawa Pulau Pinang dan lapan negeri lagi iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sarawak, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya dan WP Labuan langsung tidak menerima sebarang peruntukan di bawah TP1M.

“Lebih mengejutkan apabila peruntukan bagi TP1M menjunam daripada RM50.73 juta pada tahun 2015 kepada RM3.98 juta tahun 2016, iaitu penurunan 92.5 peratus. Begitu juga perbandingan pada tahun 2013 sebanyak RM32.82 juta diperuntukkan dan RM46.49 juta (2014).

“Bayangkan RM3.98 juta untuk seluruh negeri di Malaysia, sedangkan di Pulau Pinang melalui TPM80PP telah mencecah RM2.2 juta sejak penubuhannya Jun tahun lalu.

“Oleh itu, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin menyeru kepada Kerajaan Pusat supaya memberikan keutamaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan di bawah TP1M dengan memperuntukkan secukupnya peruntukan dalam bajet.

“Tidak kira apa alasan sekalipun, mesti memberi keutamaan terutama kes-kes penyelenggaraan kritikal membabitkan RMM kos rendah dan kos sederhana rendah seluruh Malaysia,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.