Cadangan jadikan kawasan terbiar sebagai pusat ekonomi baharu perlu diberi perhatian, kata Ketua Menteri

Admin
img 20251213 wa0080

GEORGE TOWN – Cadangan Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang supaya beberapa kawasan terbiar di sekitar bandar raya George Town dijadikan sebagai pusat ekonomi baharu perlu diberikan perhatian serius, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurut beliau, cadangan tersebut juga adalah selari dengan usaha kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri dalam menaik taraf pasar awam dan kompleks penjaja bagi memastikan golongan berkenaan di negeri ini dapat berniaga dalam suasana selesa.

“Dalam tempoh 15 hingga 17 tahun ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menaik taraf pasar awam dan kompleks penjaja supaya lebih baik dan selesa kepada peniaga serta pengunjung.

“Oleh itu, cadangan oleh Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang bukan sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan, sebaliknya perkara yang boleh dan perlu dilaksanakan oleh pihak Majlis,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Agenda Pembangunan Ekonomi Muslim 2.0 (APEM) dekat sini sebentar tadi.

img 20251213 wa0074img 20251213 wa0079img 20251213 wa0068

Kon Yeow memberitahu bahawa beliau juga menerima baik cadangan ilustrasi artis di beberapa lokasi terbiar untuk ditransformasi dan dinaik taraf dengan pencahayaan bagi menjadikan kawasan tersebut lebih selesa untuk penjaja.

“Perkara ini mungkin memerlukan sedikit pengecualian daripada undang-undang kecil (PBT) dan sebagainya untuk memastikan cadangan untuk menaik taraf gerai-gerai penjaja boleh dilaksanakan.

“Saya yakin kita boleh laksanakan kerja-kerja menaik taraf satu persatu dengan kerjasama PBT serta pelbagai agensi kerajaan, dan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kita boleh berbangga apabila banyak kawasan penjaja telah ditransformasikan,” ulasnya.

Selain itu, Kon Yeow menyifatkan bahawa cadangan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penang Gold Bazar oleh Liga Muslim yang bertujuan menjadikannya sebagai produk pembangunan ekonomi bernilai, sebagai satu tarikan baharu di negeri ini.

“Malah, Kerajaan Negeri juga memberikan perhatian serius terhadap cadangan pemeliharaan warisan dan identiti budaya komuniti India Muslim, khususnya mereka dari keturunan Kadayannallur dan Tenkasi yang mempunyai sejarah penting dalam perdagangan, pendidikan serta pembangunan awal George Town.

“Bagi memastikan warisan ini terus dihargai generasi baru, PBT telah melaksanakan langkah seperti pemasangan papan tanda sejarah di lokasi berkaitan seperti Little India serta memelihara kawasan India Muslim dalam zon UNESCO.

“Usaha ini bukan sahaja mengekalkan identiti budaya, malah memperkukuh sektor pelancongan warisan negeri,” ujarnya.

Hadir sama, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Dr. Shahul Hamid Syed Mohamed; Presiden Anjuman Himayathul Islam, Dato’ Abdul Kader K.N. Haja Mydin; Presiden Persatuan Hidayatul Islam & Central Muslim Society, Mohamed Hasan Othuman dan Setiausaha Lima Muslim Pulau Pinang, Noor Mohamed SPK Mohamed Abdullah.

Sebelum itu, Haja Majmudeen semasa berucap menyatakan bahawa pihaknya kini sedang berusaha mendigitalisasikan perniagaan dalam kalangan usahawan tempatan.

Beliau turut mempericikan beberapa cadangan yang dikemukakan sepanjang konvensyen berlangsung untuk perhatian Kerajaan Negeri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING