Cadangan kajian semula tarif air, PBAPP tunggu jawapan SPAN

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), anak syarikat PBA Holdings Berhad (PBAHB) belum menerima sebarang jawapan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai cadangan kajian semula tarif air di negeri ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi PBAHB, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, PBAPP telah mengemukakan kajian semula tarif air pada 30 April tahun lalu, namun masih belum menerima apa-apa jawapan dan dengan itu tiada sebarang kenaikkan tarif akan dibuat masa ini.

“Kita (PBAPP) masih belum melaksanakan cadangan kenaikkan tarif air kerana masih menunggu jawapan daripada SPAN berhubungan perkara tersebut,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 PBAPP di sini baru-baru ini.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa dan Pengurus Kewangan PBAPP, Joyce Lee Suan Imm.

PBAHB mencatat keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM27.93 juta pada tahun 2013 dan dijangka mencatat pendapatan lebih tinggi apabila cadangan tarif baharu diluluskan SPAN.

Menurut Guan Eng, pendapatan tambahan daripada cadangan kenaikkan tarif air itu bakal digunakan untuk membiayai projek prasarana bekalan air kritikal, pengurusan bekalan air lestari dan mempromosikan budaya penjimatan air dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang.

“Pada tahun 2013, kita mendapati peningkatan 1.5 peratus pengguna air berdaftar di Pulau Pinang, iaitu 295.1 bilion liter berbanding tahun 2012, 290.6 bilion liter sahaja.

“Melalui pengurusan bekalan yang baik oleh PBAPP, catuan air dapat dielakkan bermula Januari hingga April lalu,” ujar beliau.

Tambahnya, melalui kajian semula tarif air pada 2014, PBAPP akan memastikan semua 546,749 pelanggannya terus menikmati 100 peratus liputan bekalan air di bandar berbanding purata kebangsaan 96.9 peratus.

“Manakala, peratus bekalan air untuk populasi luar bandar adalah 99.7 peratus berbanding purata kebangsaan 90.7 peratus.

“Ini adalah kenaikkan pertama bagi caj minimum domestik sejak 1985. Pada tahun 1993, caj bagi bekalan air domestik dan tarif penggunaan sehingga 40 meter padu dikaji semula dan kali terakhir tarif domestik bagi kepenggunaan sehingga 40 meter padu sebulan dikaji semula pada tahun 2001,” nyata Guan Eng.

Jelasnya, di bawah cadangan dikemukakan kepada SPAN, tarif air akan dinaikkan dengan purata 20 peratus.

“Tarif bagi 20,000 liter penggunaan domestik yang pertama tidak ada perubahan, manakala tarif bagi penggunaan 20,000 liter – 40,000 liter hanya akan meningkat sebanyak 9.5 peratus.

“Dengan pelarasan minimum bagi band terendah dalam penggunaan domestik, Pulau Pinang masih mengekalkan purata tarif terendah di Malaysia pada RM0.32 setiap 1,000 liter bagi 35,000 liter yang pertama sebulan. Manakala purata caj kebangsaan terkini ialah pada kadar RM0.66 setiap 1,000 liter,’’ ujar beliau.