Cadangan penubuhan ‘The Living Gallery’ boleh dibincangkan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Cadangan Persatuan Karyawan Pulau Pinang untuk menubuhkan ‘The Living Gallery’ atau ‘Galeri Orang Hidup’ boleh dibincangkan lebih lanjut, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Persatuan Karyawan Pulau Pinang yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz dekat pejabat Ketua Menteri di Komtar sebentar tadi.

“Kerajaan Negeri kini dalam proses membaik pulih dua buah bangunan warisan berhampiran Hospital Pulau Pinang yang mana salah satu daripadanya masih belum dimuktamadkan dari segi pengisiannya.

“Jadi kita (Kerajaan Negeri) akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pihak-pihak berkaitan berhubung pengisian budaya yang boleh diketengahkan di bangunan terbabit,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah ahli-ahli jawatankuasa Karyawan Pulau Pinang, Jamil Othman, Dr. V. Sarvanan, Dr. Faridah Jaafar, Dr.  Jazquiline Karimon, Ooi Eng Lye, Rizol Md. Arif dan Norma Abdul.

Terdahulu, Sohaimi memperincikan cadangan pihaknya untuk menubuhkan ‘The Living Gallery’ sebagai salah satu inisiatif untuk membangunkan industri kreatif di samping memelihara seni budaya yang wujud di negeri ini.

“Pulau Pinang kaya dengan seni warisan, muzik, kraftangan dan permainan tradisional yang boleh diketengahkan sebagai produk untuk menarik kehadiran pelancong.

“Tambahan pula, penubuhan galeri ini yang bersifat berbilang kaum dan budaya dilihat mampu memperkasakan lagi masyarakat secara keseluruhannya.

“Justeru, dengan pengalaman lebih 20 tahun, kami yakin kami mampu merealisasikan penubuhan galeri ini sekiranya diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Negeri,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya memerlukan sebuah presmis khas untuk tujuan tersebut.

Pada masa sama kata Sohaimi, Persatuan Karyawan Pulau Pinang juga dalam proses menubuhkan Galeri Nordin Ahmad dekat Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir dekat Seberang Perai.

Difahamkan, Persatuan Karyawan Pulau Pinang merupakan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2003 di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dianggotai oleh bekas pensyarah dan ahli-ahli akademik dari pelbagai kaum.

Sepanjang penubuhannya, Karyawan Pulau Pinang telah mengadakan pelbagai aktiviti termasuk mengkaji, menerbit, menganjurkan pelbagai seminar dan persidangan berkaitan seni dan budaya warisan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR