Pembangunan modal insan wadah penting pembangunan negeri – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Gagasan Visi Penang2030 memperlihatkan kepekaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan pembangunan modal insan memenuhi permintaan industri di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebagai negeri yang bergantung kepada sektor pembuatan bagi kemampanan ekonomi negeri, pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia adalah amat dititikberatkan dan menjadi wadah penting pembangunan negeri.

Kerajaan Negeri melalui pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan pembangunan modal insan yang berterusan pada masa hadapan.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi galakan dan bantuan bagi membantu golongan muda dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi tujuan pemberian bantuan atau biasiswa khasnya kepada pelajar termasuk mahasiswa di negeri ini.

“(Dan) pastinya Kerajaan Negeri berharap (melalui inisiatif dan insentif yang diberikan) mampu mendorong bukan sahaja rakyat Pulau Pinang yang berkemahiran tinggi malah anak-anak Pulau Pinang untuk kembali berkhidmat demi pembangunan negeri.

“Lagipun, saya percaya bahawa peluang pekerjaan bukanlah satu isu memandangkan kejayaan Pulau Pinang menarik kemasukan pelaburan berkualiti untuk melabur,” ujarnya pada sesi pertemuan bersama-sama perwakilan Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang (MMAPP) di Komtar pagi ini.

Menurut Kon Yeow, meskipun terdapat beberapa cabaran misalnya dari segi perumahan, kos sara hidup, sumber air dan kesesakan trafik namun Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.

“Saya percaya dalam (era) digitalisasi ini, kita (Kerajaan Negeri) mampu mentransformasikan Pulau Pinang ke arah negeri maju,” kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu.

Dalam pada itu, Pengarah MMAPP, Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri mengakui bahawa peluang pekerjaan di Pulau Pinang bukanlah satu isu utama memandangkan terdapat penawaran yang tinggi.

“Malah, salah satu matlamat MMAPP adalah menarik kembali anak-anak Pulau Pinang berkhidmat di negeri ini.

Tambahan pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa cakna akan keperluan para pelajar sejak di bangku sekolah sehinggalah ke alam pekerjaan.

“(Dan) tidak dinafikan ada dalam kalangan mahasiswa lain yang cemburu dengan Pulau Pinang kerana banyak menerima bantuan seperti bantuan pengajian tinggi (i-Bita), untuk itu, kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya yang mengetuai kunjungan hormat delegasi berkaitan.

Pada sesi sama, Muhammad Amir Asyraf juga menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow atas kesudian menerima kunjungan MMAPP di Pejabat Ketua Menteri.

Turut dibincangkan adalah isu semasa berkaitan mahasiswa Pulau Pinang dan hala tuju MMAPP pada masa hadapan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD