Cadangan Sidang DUN tiga kali setahun wajar dipertimbang demi kepentingan rakyat – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa cadangan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak tiga kali dalam setahun wajar dipertimbangkan demi kepentingan rakyat.

Malah, kata beliau, tempoh masa yang diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghantar soalan lisan iaitu 21 hari sebelum persidangan bermula juga wajar dikaji semula agar soalan yang dikemukakan masih relevan dengan keadaan semasa.

“Kita (Kerajaan Negeri) boleh pertimbangkan jika didapati cadangan ini dapat membantu mengetengahkan masalah rakyat dengan lebih kerap.

“Kerana kita percaya perkhidmatan awam kita dapat menyokong kepimpinan Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk memainkan fungsi yang lebih berkesan di DUN, dan saya berharap pihak pentadbiran dapat mengambil maklum akan hal ini,” ujarnya menjawab soalan tambahan oleh ADUN Bukit Tengah, Goh Choon Aik pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut menjelaskan bahawa beberapa pembaharuan telah dilaksanakan oleh pentadbiran negeri sejak tahun 2008 bagi memastikan DUN Pulau Pinang dapat berperanan dengan lebih telus, cekap serta berintegriti.

“Bagi memastikan ADUN mempunyai lebih ruang untuk suarakan hasrat dan pandangan rakyat, sesi soalan lisan yang sebelum ini berlangsung hanya tiga jam pada hari pertama persidangan DUN telah dipanjangkan kepada satu setengah jam setiap hari.

“Selain itu, jawapan kepada semua soalan bertulis akan diletakkan di atas meja ADUN pada hari pertama persidangan selain menyediakan ruang untuk para media.

“Dan terkini, jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja yang mana pindaan perlembagaan akan dibuat pada sidang kali ini untuk merealisasikan hasrat tersebut,” jelasnya sebagai menjawab soalan dibangkitkan oleh ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon berhubung perubahan sistem demokrasi berparlimen yang dilaksanakan oleh DUN Pulau Pinang sejak 2008.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD.DAUD