Cadangan tambahan 2 CCTV di Komtar

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pihak pengurusan kompleks, PDC Setia Urus Sdn. Bhd. mencadangkan tambahan dua unit kamera litar tertutup (CCTV) di sini baru-baru ini.

Cadangan yang dibuat ekoran aktiviti mengintai di tandas awam wanita berkenaan merupakan tambahan daripada tujuh unit sedia ada di sekitar kawasan pintu laluan masuk dan keluar di fasa 1B1 Komtar.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Komtar, Ng Wei Aik berkata, cadangan tersebut walau bagaimanapun masih pada tahap perbincangan kerana perlu memperoleh maklum balas daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenalpasti tempat-tempat yang strategik bagi pemasangan CCTV tersebut.

“Satu tarikh telah ditetapkan bagi perbincangan mengenai hal ini.

“Sementara itu, pihak pengurusan telah mengambil inisiatif dengan melekatkan notis di pintu tandas yang sebelum ini dikesan terdapat aktiviti sedemikian untuk makluman awam.

“Sebagai langkah keselamatan, para pengunjung dinasihatkan menggunakan tandas berhampiran Maybank yang menjadi laluan ramai dan pada masa sama, PDRM diharap dapat mempertingkatkan kawalan,’’ katanya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Wei Aik, sebagai inisiatif tambahan, tandas awam yang sebelum ini ditutup pada jam 9 malam dari Isnin hingga Ahad turut diubah masa pengoperasiannya.

“Bagi Isnin hingga Jumaat, tandas akan ditutup pada jam 8 malam manakala, Sabtu dan Ahad, 5 petang,’’ jelas beliau.

Hadir sama, Penolong Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Harta PDC, Roslan Hassan dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat PDC, Dahlan Ismail.

NG Wei Aik (depan, dua dari kiri) bersama-sama kakitangan PDC dan PDC Setia Urus Sdn. Bhd. membuat tinjuan di lokasi kejadian seorang wanita yang diintai ketika sedang menggunakan tandas awam di Komtar baru-baru ini.
NG Wei Aik (depan, dua dari kiri) bersama-sama kakitangan PDC
dan PDC Setia Urus Sdn. Bhd. membuat tinjuan di lokasi kejadian
seorang wanita yang diintai ketika sedang menggunakan tandas awam di Komtar baru-baru ini.