JKPP lokasi penganjur Penang Bridge International Marathon 2013

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Penganjuran Allianz Penang Bridge International Marathon 2012 yang berjaya menarik penyertaan seramai 34,500 peserta dari seluruh dunia sekali lagi berjaya memperoleh pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai acara larian terbesar dalam negara.

Malah, penganjuran kali ke- 26 tersebut merupakan yang terakhir diadakan di Jambatan Pulau Pinang kerana penganjuran tahun depan
(2013) bakal diadakan di Jambatan Kedua Pulau Pinang (JKPP) yang dijangka siap pada September 2013.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada puluhan ribu peserta yang sudi menyertai acara tersebut berbanding hanya 27,500 orang pada tahun lalu.

“Kita (pihak penganjur) juga menerima penyertaan yang banyak di peringkat antarabangsa dengan penyertaan 68 buah negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Kenya, United Kingdom dan banyak lagi.

“Malah, kita turut mengalu-alukan kedatangan Ahli Jawatankuasa Perbandaran Xiamen, Kang Tao yang sudi ke sini untuk turut sama menilai penganjuran ini bagi dilaksanakan di wilayah sendiri.

“Dalam pada itu, sekali lagi, saya ingin mengucapkan tahniah kerana berjaya melepasi garisan penamat kerana ia bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya atas semangat yang kental sehingga menjadikan anda semua nombor satu,” katanya pada ucaptama penutup Allianz Penang Bridge International Marathon 2012 di sini baru-baru ini.

Bagi acara utama Marathon Penuh Lelaki Terbuka, ia telah dimenangi oleh Isaac Kiplagat Kimayo dari Kenya dengan catatan masa 2:32:00 mengatasi rakan senegara, Naoh Kutung Chepsergon dan Fredrick Mathiu.

Kategori Marahon Penuh Wanita Terbuka pula menyaksikan Fischer Monika dari Jerman mengungguli acara dengan catatan :25:09.50 mengalahkan Deborah Chinn dari Amerika Syarikat dan Ninik Sugiwati dari Indonesia.

Marathon Penuh Lelaki Terbuka (Malaysia) tidak kurang hebatnya apabila Shaharudin Hashim menggondol tempat pertama dengan catatan masa 2:49:26.51 dan ketujuh keseluruhan termasuk peserta antarabangsa. Tempat kedua dimenangi oleh Osmond Daimon diikuti Jasni Khairil.

Kesemua pemenang diberikan hadiah berupa sijil, wang tunai, trofi dan baju T sumbangan penaja utama.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

PARA peserta Allianz Penang Bridge International Marathon 2012 bakal memulakan larian pada penganjuran di sini baru-baru ini.
PARA peserta Allianz Penang Bridge International Marathon 2012 bakal memulakan
larian pada penganjuran di sini baru-baru ini.
ABD. Halim Hussain (kanan sekali) bergambar bersama-sama pemenang bagi kategori wanita.
ABD. Halim Hussain (kanan sekali) bergambar
bersama-sama pemenang bagi kategori wanita.