Calon mesti sampaikan mesej perjuangan yang jelas, seru Kon Yeow

Admin

PULAU TIKUS – Pengerusi Parti Tindakan Demokrasi (DAP) Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyeru kepada semua calon negeri parti berkenaan yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya menyampaikan mesej perubahan yang jelas tentang perjuangan Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat.

 

Menurut Kon Yeow, setiap calon perlu mengambil peluang sepanjang tempoh kempen ini untuk menyampaikan mesej di kawasan masing-masing agar perjuangan yang dibawa tersebar meluas.

 

Inilah masanya, tidak kira sama ada anda merupakan calon DAP atau lain-lain komponen PH, ambil peluang ini untuk sampaikan mesej perubahan yang jelas.

 

“(Dan) dengan sumber serta tenaga kerja yang ada kini, kita masih memerlukan sokongan semua rakyat Pulau Pinang yang seiringan dan sehaluan dengan falsafah perjuangan kita untuk memastikan kemenangan pada 19 November nanti.

 

“Walaupun hujan dan perlu berpanas terik, kita mesti teruskannya,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Operasi Pakatan Harapan Parlimen P048 Bukit Bendera yang terletak di premis beralamat di 26A Cordington Avenue pada 7 November 2022.

CHOW Kon Yeow yang juga calon bagi Parlimen Batu Kawan turut bersemangat berkongsi perjalanan politik beliau pada majlis berkaitan di sini.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga calon bagi Parlimen Batu Kawan turut berkongsi pengalaman beliau serta suasana politik masa kini yang dilihatnya jauh berbeza berbanding 30 atau 20 tahun lalu.

 

“Kita telah mengambil masa lebih 20 tahun untuk merealisasikan transformasi melalui reformasi sehingga membolehkan kita menang pada 2018.

 

“(Dan) kita akan terus berjuang untuk melihat perubahan sebenar dalam negara sama ada dari segi perubahan institusi, jalinan etnik dan bangsa, keharmonian beragama dan kemakmuran ekonomi dan kewangan.

 

“Sebagai rakyat Malaysia, kita layak mendapatkan yang lebih baik, kerajaan yang lebih baik agar generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa depan daripada kerajaan,” ujarnya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.

 

Tambah beliau, rakyat Malaysia termasuk di Pulau Pinang, memerlukan sebuah kerajaan yang boleh menggubal polisi yang memihak kepada rakyat.

 

Misalnya, di Pulau Pinang kita bukan sahaja mahu mengekalkan bakat muda yang ada di dalam negeri ini malah bersedia untuk menarik bakat-bakat baharu dari negara luar yang mana kita (sebagai sebuah kerajaan) menyediakan polisi yang jelas demi masa hadapan yang lebih cerah kepada anak-anak kita.

 

“Inilah yang diperlukan bukan sahaja di Pulau Pinang malah Malaysia juga agar anak-anak Malaysia dapat membesar dan menikmati kehidupan yang sewajarnya seiring dengan pembangunan negara.

 

“Walaupun hanya 22 bulan (mentadbir pada peringkat Persekutuan) namun ia tidak memudarkan semangat, kita harus lupakan kekecewaan serta kritikan sama ada yang telah dilakukan mahupun tidak lakukan, ambil sebagai perjalanan berliku dalam arena politik.

 

“Jangan biarkan liku-liku ini menghalang kita untuk melakukan yang terbaik dan memberi yang terbaik untuk rakyat Malaysia termasuk di Pulau Pinang dan ini adalah perjuangan kita semua untuk selamatkan Malaysia,” ujarnya.

 

Terdahulu, Kon Yeow hadir menyempurnakan pelancaran pusat operasi dan meluangkan masa menikmati makan malam yang disediakan.

 

CHOW Kon Yeow bersama-sama barisan kepimpinan parti DAP Negeri merakamkan gambar kenangan usai majlis pelancaran pusat operasi bagi Parlimen Bukit Bendera di sini.

 

Malah, dalam ucapannya sebelum itu, beliau sendiri menzahirkan ucapan tahniah dan berharap segala program serta aktiviti yang dirancang untuk tempoh yang masih berbaki 12 hari berjalan dengan lancar.

 

“Calon bagi Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid adalah contoh yang mana bermula daripada seorang aktivis boleh membawa perubahan apabila diberikan landasan yang baik melalui parti yang diwakilinya.

 

“(Dan) kita mendoakan kemenangan beliau di Parlimen Bukit Bendera pada 19 November nanti,” katanya sambil melaungkan kata-kata keramat ‘Kita Boleh’ di hadapan penyokong yang hadir.

 

Calon Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; calon Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari merangkap Naib Pengerusi DAP Negeri; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan barisan Ahli Majlis dari pihak berkuasa tempatan negeri serta pimpinan tempatan antara yang turut sertai majlis berkaitan di sini.