Capai 30% wanita di peringkat buat keputusan menjelang 2016, hasrat P. Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PADANG LALANG – Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menubuhkan dua pusat jagaan kanak-kanak masing-masing di Daerah Timur Laut dan Seberang Perai Tengah (SPT) supaya tiada lagi kanak-kanak daripada keluarga kurang mampu ditinggalkan bersendirian di rumah pada waktu bekerja.

Exco Beliau & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng memberitahu, pusat tersebut menerima perkhidmatan jagaan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, dengan kos upah serendah RM50 sebulan.

“Ibu yang bekerja tidak boleh lagi membiarkan anak-anak ditinggalkan sendirian di rumah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang ketika mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Taman Serumpun di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Teo Nie Ching (ADUN Kulai), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Aida Yusof Rawah (Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, PWDC) turut hadir pada majlis itu yang diadakan sempena sambutan Hari Ibu anjuran PWDC.

Menurut Chong Eng, inisiatif itu demi merealisasi kesaksamaan gender di negeri ini, khususnya kepada wanita bekerja dari keluarga
kurang mampu.

“Hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah untuk mencapai 30 peratus wanita di peringkat membuat keputusan menjelang 2016.

“Tetapi, realitinya adalah, tidak ramai majikan menyediakan kemudahan asas untuk ibu yang bekerja dan terdapat hampir tiada pusat jagaan harian di tempat kerja,” jelas Chong Eng sambil menggalakkan semua majikan awam dan swasta supaya menyediakan infrastrutur lebih fleksibel untuk keperluan wanita.

Terdahulu, Chong Eng memberitahu bahawa beberapa Pusat Jagaan Bayi turut diwujudkan antaranya di perkarangan Lebuhraya Babingthon berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) demi mencegah aktiviti membuang anak di negari ini.