GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama rakan IP, Komic Sdn. Bhd. akan menganjurkan ‘World’s First Capybara PIMOO-Themed Fun Walk’ iaitu satu acara larian santai yang bertujuan mempromosikan bandar raya George Town sebagai destinasi pelancongan Pulau Pinang yang kaya dengan budaya dan sejarahnya tersendiri.
Program julung kali dijadualkan berlangsung pada Ahad, 24 Mei hadapan dengan pelepasan bermula sekitar jam 7.30 pagi di hadapan Pusat Membeli Belah, 1st Avenue Penang, di Jalan Magazine, di sini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran acara larian santai ini adalah usaha Kerajaan Negeri merealisasikan pemerkasaan pelancongan di Pulau Pinang selaras dengan Tahun Melawat Malaysia yang berlangsung pada tahun ini.
“Kita dapat lihat bahawa saban tahun Pulau Pinang terus mendahului dalam pelancongan kreatif dan ini termasuklah dengan penganjuran julung kalinya ‘Capybara PIMOO-Themed Fun Walk’ yang meletakkan George Town sebagai destinasi utama pelancong dari dalam dan luar negeri untuk merasai pelbagai keunikan budaya dan sejarah di negeri ini.
“Menariknya di sini, peserta akan mengharungi larian secara santai bersama keluarga atau rakan sejauh lima kilometer yang melalui beberapa kawasan dan laluan ikonik yang mempunyai pelbagai tarikan menarik di sekitar bandar raya George Town yang seperti kita tahu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO pada 2008.
“Malah, ini juga adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk terus memperkasa sektor pelancongan di negeri ini yang sentiasa menerima kedatangan pelancongan tanpa henti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengumumkan penganjuran ‘World’s First CapybaraPIMOO-Theme Fun Walk’ dalam sidang media di Komtar, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KOMTAR, Teh Lai Heng; Pengurus Besar 1st Avenue Penang, Crystal Wong dan penganjur serta Ketua Pegawai Eksekutif, Komic Sdn. Bhd., Teh Chun Kai.
Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu bahawa selaras dengan inisiatif penjenamaan global yang menjadikan haiwan seperti Capybara-PIMOO sebagai tarikan dunia, Kerajaan Negeri turut tidak mahu ketinggalan dalam mengambil bahagian dalam penganjuran acara ini.
“Capybara adalah satu haiwan yang jika kita lihat yang sangat tenang dan santai dan ini menjadikan salah satu sebab penganjur acara ini meletakkan capybara sebagai satu haiwan yang comel yang mempu menarik tarikan untuk semua lapisan masyarakat untuk sertai acara ini.
“Selain itu, kerjasama dengan pusat membeli belah seperti 1st Avenue juga sama penting kerana acara ini juga mampu menarik peserta untuk mengunjungi pusat beli belah itu dalam merancakkan ekonomi di negeri ini,” katanya.
Peserta yang menyertai acara larian santai itu turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang bernilai lebih RM20,000 yang mana hadiah utamanya adalah sebuah motosikal.
Yuran bagi penyertaan awal sehingga 1 Mei hadapan adalah sebanyak RM69.90 manakala selepas tarikh itu dikenakan RM79.90 dengan setiap peserta akan menerima t-shirt larian, pingat, nombor bib larian, e-sijil penyertaan dan cenderamata penyertaan.
Selain itu, orang ramai juga boleh mendaftar secara berkumpulan yang mana yuran penyertaan sebanyak RM188 dikenakan bagi penyertaan awal berkumpulan yang mengandungi tiga orang dan selepas 1 Mei pula, yuran penyertaan bagi berkumpulan adalah sebanyak RM218.
Berminat? Jom daftar dan meriahkan acara ini. https://howei.com/event_details/capybarafunwalk.
Oleh : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar : ALISSALA THIAN