Khidmat tanpa jaminan, luahan pegawai farmasi kontrak menanti kepastian

collage 2026 04 15 17 13 44

Harap pihak berwajib memahami keresahan hati kami. ”

 

Itulah luahan salah seorang petugas kesihatan yang berkhidmat di sebalik kaunter farmasi. Meskipun kelihatan tenang dan tersusun, namun tersimpan beban tugas dan keresahan yang tidak ramai benar-benar faham.

 

Bagi pegawai farmasi kontrak yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Raynee, setiap hari adalah perjuangan antara tanggungjawab tugasan hakiki yang digalas dan ketidakpastian masa depan kerjaya.

 

Berkhidmat di salah sebuah klinik kesihatan di negeri ini, beliau bakal mencecah lima tahun perkhidmatan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Julai ini, namun, statusnya masih kekal sebagai calon simpanan sejak tahun 2021.

 

“Secara jujurnya, saya sangat tertekan kerana sudah berkhidmat bertahun-tahun, tetapi masih tiada kepastian, malah kontrak kami juga tidak jelas, tidak ada hitam putih mengenai masa depan kerjaya kami,” luahnya ketika dihubungi baru-baru ini.

 

Menurut beliau, tugas pegawai farmasi di sektor kerajaan jauh lebih luas berbanding tanggapan umum.

 

“Jika di sektor swasta kebanyakannya tertumpu kepada pendispensan ubat, pegawai farmasi kerajaan perlu menggalas pelbagai tanggungjawab tambahan.

 

“Antaranya termasuk Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (VAS) seperti Ubat Melalui Pos (UMP), yang memerlukan pegawai farmasi membungkus dan menghantar ubat kepada pesakit melalui perkhidmatan pos.

 

“Selain itu, pelaksanaan Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB) selepas pandemik turut menambah beban kerja apabila hospital kerajaan menyalurkan pesakit kepada Klinik Kesihatan bagi bekalan ubat jangka panjang.

 

“Setiap preskripsi perlu disemak satu persatu dengan teliti dan dalam masa sama, kami juga jalankan sesi kaunseling kepada pesakit seperti di klinik diabetes dan berhenti merokok yang mana semua ini memerlukan masa, tenaga dan fokus,” katanya lagi.

 

Namun, di sebalik komitmen tinggi itu, Cik Raynee memberitahu kekangan kakitangan terus menjadi cabaran utama dalam perkhidmatan kesihatan awam.

 

“Setiap pegawai farmasi, termasuk yang berstatus kontrak, memegang portfolio masing-masing yang kritikal kepada operasi harian klinik.

 

Bayangkan jika kontrak kami tidak disambung atau ditamatkan, siapa akan ambil alih tugas ini? Beban kerja akan bertambah dan akhirnya pesakit juga yang terkesan.

 

“Waktu menunggu untuk pesakit juga pasti akan jadi lebih lama walaupun KPI (Pertunjuk Prestasi Utama) ditetapkan 30 minit,” jelasnya.

 

Tambah membimbangkan, jelasnya adalah ketidakpastian mengenai pengambilan baharu.

 

“Semakan terbaru dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati status calon simpanan kini diaktifkan dan dilanjutkan sehingga 20 Oktober 2026, namun tiada jaminan bila pengambilan tetap akan dibuat.

 

“Malah, permohonan baharu dijangka hanya akan dibuka pada penghujung tahun 2027.

 

Tempoh menunggu yang panjang ini memberi tekanan besar kepada pegawai farmasi kontrak yang rata-ratanya mempunyai komitmen hidup sendiri.

 

“Kami ada bil bulanan yang perlu dibayar, berapa lama lagi kami perlu tunggu dalam keadaan tidak pasti ini?.

 

“Saya sendiri cuba mencari peluang kerjaya lain, tetapi tidak berjaya,” katanya dengan nada sayu sambil mengakui bahawa minat beliau dalam bidang farmasi cukup mendalam.

 

Cik Raynee turut berharap agar pihak berwajib dapat turun padang dan mendengar sendiri suara mereka yang berada di lapangan.

 

“Cakap tentang nisbah atas kertas memang mudah, tetapi realitinya sangat berbeza kerana kami yang bekerja di barisan hadapan tahu situasi sebenar.

 

“Saya harap kami dapat diserap, bukan sekadar dilanjutkan kontrak berulang kali, harapan ini bukan untuk saya sahaja, tetapi semua pegawai farmasi kontrak yang masih menunggu kepastian sehingga ke hari ini,” katanya penuh harapan.

 

Bagi seorang lagi responden yang hanya mahu dikenali sebagai Murni, perjalanan kerjayanya sebagai pegawai farmasi bukanlah semudah yang disangka, meskipun beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pemegang biasiswa JPA yang konon-konon dijanjikan kerjaya tetap dengan skim gaji setimpal apabila habis belajar kelak.

whatsapp image 2026 04 15 at 16.28.03
MURNI.

Namun, menurut beliau, pada tahun 2016, polisi perjawatan telah dirombak melibatkan doktor, jururawat dan ahli farmasi di bawah KKM.

 

Susulan rombakan dasar perjawatan berkaitan, Murni yang merupakan sebahagian daripada kohort perintis sistem kontrak yang diperkenal itu menjadi ‘kudis buta’ bagi program transformasi kerajaan hingga kini.

 

Memulakan khidmat pada Januari 2018, impian Murni untuk berbakti dalam sektor awam terhenti seketika apabila kontraknya tamat pada tahun 2021 tanpa sebarang khabar rasmi mengenai penyambungan atau penyerapan ke jawatan tetap.

 

Akibat ketiadaan jaminan pekerjaan di bawah KKM, Murni kini mencari rezeki di sebuah firma farmasi swasta.

 

Baginya, situasi ini sangat terkilan kerana beliau bukanlah belajar dalam bidang ‘biasa-biasa’, malah pengajiannya ditaja sepenuhnya oleh kerajaan melalui JPA dengan janji peluang pekerjaan di bawah sektor perkhidmatan awam.

 

“Saya bukan belajar dengan tajaan swasta atau pinjaman pendidikan, tetapi pemegang biasiswa JPA yang dijanjikan peluang kerja di KKM.

 

“Namun, hakikatnya jawatan tetap yang dijanjikan seolah-olah menjauh,” katanya.

 

Nama Murni kini tersenarai dalam kumpulan ‘pegawai simpanan’ (antara senarai 980 dan 1,330) yang dijadualkan untuk dipanggil semula melapor diri pada Oktober depan.

 

Walau bagaimanapun, kegusaran tetap menyelubungi beliau dan 330 rakan seperjuangannya yang lain, kerana takut mimpi indah di siang hari berulang lagi.

 

Meskipun KKM dikhabarkan telah membuat panggilan rasmi pada 31 Mac 2025, beliau masih menunggu ‘hitam putih’ yang jelas untuk memastikan status beliau kali ini benar-benar terjamin dan tidak lagi tercicir seperti sebelumnya.

 

Harapan saya, kami seramai 351 orang yang tercicir ini segera dipanggil secara rasmi untuk melapor diri pada bulan Oktober ini.

 

“Jangan biarkan kami terus dalam ketidakpastian,” rayunya.

 

Terdahulu, pada 7 April lalu, Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran melalui kenyataan media menyuarakan kebimbangan bahawa ketiadaan tawaran tetap atau lanjutan kontrak selepas tempoh lima tahun berisiko mengulangi isu yang pernah melanda pegawai perubatan.

 

img 20260415 wa0051
DR. R.A. Lingeshwaran.

 

Beliau berkata, keputusan KKM itu dibuat atas dasar penjajaran strategik bagi memastikan sistem sumber manusia kekal saksama dan mampan, namun mempersoal implikasi jangka panjang.

 

whatsapp image 2026 04 15 at 11.00.28
(Sumber: FACEBOOK Dr. R.A. Lingeshwaran).

 

Dalam kenyataan sama, beliau memetik statistik nisbah pegawai farmasi kepada penduduk adalah 1:1,538 setakat 31 Disember 2024, iaitu melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menunjukkan lebihan tenaga kerja.

 

Beliau turut menyarankan supaya para graduan bersedia untuk meneroka peluang kerjaya yang lebih luas selain menyatakan bahawa penyerapan ke jawatan tetap bukan lagi jaminan kerjaya pada masa ini.

 

Sementara itu, pada Disember 2025, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pernah merakamkan penghargaan kepada KKM dan JPA atas kesediaan mendengar kebimbangan yang dibangkitkan oleh Dr. Lingeshwaran berhubung keperluan dan status perkhidmatan ahli farmasi kontrak daripada kohort 2021 yang mana ketika itu, kira-kira 379 ahli farmasi kontrak telah menerima surat tawaran untuk pelantikan tetap.