CAT Bridge Bukit Mertajam pengangkutan alternatif Seberang Perai ke pulau

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri sememangnya komited dalam mengoptimumkan jaringan sistem pengangkutan awam serta memperkasakan keterhubungan antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bagi tujuan itu, perkhidmatan Congestion Alleviation Transport (CAT) atau CAT Bridge Bukit Mertajam (CT14) mula beroperasi sejak awal tahun ini.

“Perkhidmatan CAT Bridge Bukit Mertajam secara percuma ini menghubungkan kawasan Bukit Mertajam dan Komtar bermula 1 Januari 2023 sehingga tempoh enam bulan dari tarikh tersebut.

“Untuk makluman, CAT Bridge Bukit Mertajam merupakan perkhidmatan tambahan daripada CAT Bridge sedia ada yang bertujuan untuk meringankan beban penduduk negeri ini serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya semasa Majlis Pelancaran Bas Percuma CAT Bridge dekat Bandar Perda, di sini baru-baru ini.

BARISAN kepimpinan Kerajaan Negeri sewaktu majlis pelancaran baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad; Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Dato’ Lim Hock Seng serta Ahli-ahli Majlis bagi MBSP dan wakil-wakil dari Rapid Penang.

STEVEN Sim Chee Keong (kiri) bersama-sama Zairil Khir Johari menaiki bas CAT Bridge.

Pada sesi sama, Zairil turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma.

“Sebanyak lima buah bas disediakan bagi pengoperasian laluan baharu ini dan dijangka hanya memakan masa lebih kurang satu jam ke atas bergantung kepada keadaan trafik.

“Perjalanan bas ini merangkumi laluan sejauh 26 kilometer (km) melalui Summit Bukit Mertajam, kemudian ke Bandar Perda dan seterusnya melalui Jambatan Pulau Pinang menghala ke Terminal Bas Komtar,” tambahnya lagi sambil menekankan bahawa penggunaan CAT Bridge Bukit Mertajam tertakluk kepada waktu operasi yang telah ditetapkan.

Balutan bas berwarna merah yang tertera tulisan Bas Merah (BM) Ke Komtar

Mengulas lanjut, Zairil berharap agar pengguna CAT Bridge berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui peruntukan sebanyak RM724,000.

“Saya berharap perkhidmatan CAT Bridge Bukit Mertajam ini dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas serta mengurangkan kos pengguna.

“Para penumpang boleh mengenal pasti laluan bas ini berpandukan balutan bas berwarna merah yang tertera tulisan Bas Merah (BM) Ke Komtar,” ujarnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL