CCPSS, JPJ Pulau Pinang tingkat kesedaran keselamatan jalan raya menjelang Tahun Baharu Cina

Admin
whatsapp image 2026 02 10 at 10.10.56

PANTAI JEREJAK – Badan sukarela, Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (Crime Consciousness & Public Safety Society, CCPSS) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah melaksanakan Sekatan Keselamatan Jalan Raya berdekatan Jalan Tengah, di sini, sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.

 

Menurut kenyataan media daripada CCPSS, pelaksanaan sekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna, khususnya menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan ketara jumlah trafik di jalan raya.

 

Fokus utama sekatan jalan raya tersebut adalah kepada pendekatan pendidikan dan libat urus awam, melibatkan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan.

 

“Langkah ini bertujuan memupuk amalan pemanduan dan penunggangan yang lebih berhemah, di samping memperkukuhkan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas.

 

“Secara keseluruhan, inisiatif bersama ini memperlihat keselarasan hala tuju JPJ Pulau Pinang dan CCPSS dalam memperkasa program pendidikan keselamatan, penguatkuasaan berfokus serta penglibatan komuniti.

 

“Kerjasama ini akan terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya yang lebih baik, khususnya semasa musim perayaan dan tempoh trafik padat,” sebagai memetik kenyataan tersebut.

 

whatsapp image 2026 02 10 at 10.10.58

 

Difahamkan, pihak JPJ Pulau Pinang bersama pasukan CCPSS telah menyampaikan panduan berkaitan keselamatan jalan raya, termasuk kepentingan penggunaan peralatan keselamatan yang diluluskan serta pematuhan undang-undang trafik bagi mengurangkan risiko kemalangan, terutamanya sepanjang tempoh perjalanan puncak perayaan.

 

Selain itu, beg cenderahati turut diedarkan kepada pengguna jalan raya termasuk topi keledar keselamatan kepada penunggang motosikal yang didapati menggunakan topi keledar tidak mematuhi spesifikasi, sebagai langkah memperkukuh perlindungan penunggang dan menegaskan kepentingan keselamatan diri.

 

whatsapp image 2026 02 10 at 10.11.00

 

Pada hari yang sama, Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail telah mengadakan kunjungan hormat ke kediaman Penasihat Strategik CCPSS, Seah Kok Heng, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Kunjungan tersebut diserikan dengan upacara ‘lau sang’ sebagai simbol kemakmuran, keharmonian dan hubungan kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak.

 

Antara yang turut serta, Presiden Persatuan Prihatin Komuniti Harmoni Pulau Pinang (CHC) Dr. Lee Eng Wah; Timbalan Pengerusi CCPSS, Musen Liew Ee Jin; Timbalan Setiausaha CCPSS, Edwin F. Martin serta ahli jawatankuasa CCPSS.